Saturday, October 11, 2014

MALAYSIA:::NUTP: Elak pembaziran salur peruntukan


Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mahu peruntukan RM250 juta dalam bidang pendidikan untuk program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dan program Rakan Peningkatan Sekolah disalurkan secara lebih fokus bagi mengelak pembaziran.
    


Presidennya Hashim Adnan berkata sejak program berkenaan dimulakan tahun lepas, timbul beberapa masalah melibatkan pelantikan pakar-pakar yang tidak berkaliber dan tidak pandai berkomunikasi.
    
"Contohnya pakar dalam subjek Bahasa Inggeris, guru itu sendiri mesti lulus peperiksaan Bahasa Inggeris yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan.
    
"Aduan daripada guru mengenai pakar yang telah dilantik patut didengar untuk menambah baik dalam pelantikan pakar (yang belum dilantik). Kalau tidak ia akan menjadi beban kepada guru kalau pakar tidak melakukan kerja dengan betul," katanya.
    
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2015 bertemakan 'Ekonomi Keperluan Rakyat' di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM56 bilion kepada Kementerian Pendidikan untuk membiayai pelbagai program pengajaran dan pembelajaran tahun hadapan.
    
Ia merangkumi penekanan kepada pemantapan sekolah-sekolah yang memerlukan bimbingan dan bantuan khusus, pendidikan tinggi teknikal dan vokasional, membangun dan menyelenggara fasiliti pendidikan, penajaan pelajaran dan memperluas Program MyBrain15.
    
Mengenai usaha kerajaan memperluaskan Sekolah Amanah yang diberi peruntukan RM10 juta dalam bajet kali ini, Hashim berkata kuantiti sekolah tersebut tidak perlu banyak, sebaliknya kualiti harus ditingkatkan dan dijaga bagi mengekalkan kecemerlangan yang telah terbukti menghasilkan mutu positif dalam pembinaan
pelajar.
    
Beliau bagaimanapun menyifatkan peruntukan RM56 bilion yang disediakan kerajaan kepada Kementerian Pendidikan adalah satu pelaburan jangka panjang dan bukannya perbelanjaan sia-sia bagi membentuk generasi yang lebih berguna pada masa hadapan.
    
Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Malaysia Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata  peruntukan RM1.2 bilion bagi Program Transformasi Vokasional dan Teknik (TEVT) dilihat sebagai satu langkah transformasi yang  selari dengan wawasan negara mencapai negara maju menjelang 2020.
    
Mohamad Ali berkata aliran kemahiran juga diperlukan bagi melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi yang  bukan sahaja menjadi pekerja, malah boleh menjadi usahawan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Pelajar yang lulus dalam pendidikan teknikal juga tidak perlu bergantung kepada sektor pekerjaan yang ditawarkan oleh  kerajaan ataupun swasta, malah mereka boleh mencipta bidang perniagaan baharu berdasarkan kebolehan yang dimiliki mereka.
    
"Melalui keusahawanan ini juga, mereka boleh mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan yang baharu  menamatkan pelajaran," katanya.
    
Timbalan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPIS) Datuk Junaidi Abu Bakar berkata peruntukan RM3 bilion untuk tujuan penajaan pelajaran adalah perlu bagi menambah golongan profesional dalam pelbagai bidang.

"Sebagai contoh dalam bidang pendidikan, kita memerlukan guru yang lebih mahir dan berketerampilan dalam mendidik  pelajar di pelbagai peringkat, selain bidang perubatan yang kita tahu memang sentiasa tak mencukupi," katanya.

Mengenai peruntukan sebanyak RM112 juta bagi Program MyBrain15, beliau berkata dengan peruntukan yang tinggi itu negara dapat melahirkan lebih ramai graduan yang mempunyai ijazah tinggi.
    
"Program itu turut memberi peluang kepada graduan yang masih menganggur untuk meneruskan pelajaran ke peringkat  lebih tinggi. Di UPSI sahaja pun, pada setiap tahun, kita menerima lebih 1,000 graduan yang memiliki ijazah peringkat Sarjana  melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD)," katanya.

sumber:::http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment