Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Noorulazhar Mohd. Hanafiah (gambar) berkata, pekerja warganegara Nepal itu dikesan menghidap penyakit tibi selepas menerima rawatan di salah sebuah klinik kesihatan di Klang baru-baru ini.
Walau bagaimanapun katanya, belum sempat pekerja tersebut mendapatkan rawatan lanjut, majikannya secara tergesa-gesa menghantarnya pulang ke negara asal bagi menutup bukti.
“Lebih merisaukan pekerja kilang di sini apabila pekerja warga asing terbabit tinggal serumah dengan rakan-rakannya yang lain dan dikhuatiri mereka terkena jangkitan penyakit itu.
“Sepatutnya apabila dikesan menghidap penyakit tibi, pekerja itu perlu mendapatkan rawatan awal dan dikuarantin bagi mengelakkan penyakit berjangkit tetapi perkara sebaliknya pula berlaku apabila majikannya bertindak menghantarnya pulang tanpa mendapatkan rawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Wan Noorulazhar, mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 adalah menjadi kesalahan kepada pesakit berkenaan tidak menjalani pemeriksaan lanjut untuk mengesan penyakit tersebut.
Katanya, mana-mana pesakit yang tidak mahu bekerjasama dengan pejabat kesihatan dianggap melanggar arahan tersebut dan boleh didenda atau dikompaun.