Tuesday, August 16, 2016

MALAYSIA::: Bank Muamalat pecat kakitangan selepas pindahkan mereka ke KL

 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) memandang serius tindakan Bank Mumalat memecat tiga kakitangan bawahannya pada Jumaat lalu selepas mereka dipindahkan ke Kuala Lumpur (KL) kerana menolak tawaran skim pemisahan sukarela (VSS).
Tiga kakitangan bawahan tersebut adalah Mohd Azan Abd Rahim, Mohd Zaki Khalib dan Wan Rosli Wan Mansor dari Kulim, Kota Bharu dan Ipoh diarah pindah ke KL pada 18 Julai lalu.
Setiausaha Agung (NUBE) J Solomon berkata ketiga-tiga mereka mengikut arahan bank itu dengan melaporkan diri untuk bertugas setiap hari selama sebulan setelah dipindahkan secara paksaan ke KL.
“Sepanjang berada di KL, Nube difahamkan mereka hanya duduk di bilik pentadbiran di pejabat bank itu tanpa sebarang tugas diberikan kepada mereka,” katanya menerusi satu kenyataan kepada FMT.
Dalam laporan berita sebelum ini, tiga kakitangan bawahan Bank Muamalat itu mendakwa mereka rasa tertindas selepas diarahkan berpindah tugas ke ibu pejabat di KL.
Mengulas lanjut, Solomon mendakwa selama sebulan dipindahkan ke KL, ketiga-tiga pekerja bawahan itu mengharungi pelbagai gangguan, pembulian dan penghinaan yang tidak henti-henti daripada pihak bank.
“Mereka telah dipisahkan daripada keluarga, dipindah secara paksaan, dijanjikan pekerjaan yang tidak wujud dan ditawarkan ‘kenaikan pangkat’ palsu,” katanya yang menyifatkan tindakan Bank Muamalat memusnahkan keluarga dan melumpuhkan ekonomi kakitangan itu.
“Setiap langkah bank yang berunsurkan ciri-ciri Islam ini jelas melanggar undang-undang dan perjanjian, menjejaskan keutuhannya dan mengabaikan nilai-nilai terasnya.
“Pihak bank turut melanggar peruntukkan Perjanjian Kolektif di antara Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank dan Persatuan Bank Perdagangan Melayu (MCBA),” katanya.
Kesatuan yang mempunyai 22,000 ahli dikatakan akan teguh bersama ketiga-tiga pekerja bawahan Bank Muamalat dan berharap pihak bank akan melihat kesilapan dalam perbuatan yang dilakukan serta mengembalikan pekerjaan asal mereka.
Bahasa,-NUBE,-Bank-Mualamat,-J-Solomon.
"Solomon berkata langkah bank yang berunsurkan ciri-ciri Islam ini jelas melanggar undang-undang dan perjanjian, menjejaskan keutuhannya dan mengabaikan nilai-nilai terasnya."

Malaysian Law 32130 AWARD 23640 Rujukan yang dibuat dibawah seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 ( Tangkap KHALAWAT diluar waktu kerja,)

Malaysian Law 32130 AWARD 23640
NO. AWARD : 900 TAHUN 2016

Rujukan yang dibuat dibawah seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967

( Tangkap KHALAWAT diluar waktu kerja,)

RINGKASAN.

Penuntut-Penuntut berhujah melalui peguam mereka bahawa Syarikat tidak berhak untuk mengawal tindak tanduk dan akhlak pekerjanya diluar dari waktu bertugas dan di luar dari premis Syarikat melainkan kepentingan Syarikat adalah terjejas dan dalam kes ini Penuntut-Penuntut juga berhujah bahawa tiada keterangan yang dapat menunjukkan bahawa imej, reputasi atau kepentingan Syarikat adalah terjejas akibat dari perbuatan Penuntut-Penuntut.

Pihak Syarikat berhujah bahawa perlakuan ini adalah berkait dengan nilai akhlak atau moral, iaitu satu perlakuan tidak bermoral atau “immoral act”. Syarikat telah memberi keterangan melalui saksi-saksinya bahawa, sebagai sebuah organisasi yang mengeluarkan kereta nasional, kilang yang terletak di bandar kecil Pekan yang majoriti penduduk adalah orang melayu beragama Islam, 99% pekerja adalah orang melayu beragama Islam, maka adalah menjadi polisi Syarikat untuk berpegang kepada nilai peradaban setempat dan telah memasukkan nilai ini dalam Dasar dan Tatacara Tatatertib Syarikat. Antara kesalahan tatatertib di bawah Dasar dan Tataca Tatatertib adalah Klausa 35 yang menyebutkan; “Menjatuhkan imej atau nama baik syarikat melalui apa-apa cara sama ada lisan, tulisan atau perbuatan.”

Klausa 68 pula memperuntukkan antara kesalahan tatatertib adalah; “Disabitkan kesalahan jenayah, dadah, syariah atau diisytiharkan bankrap oleh mana mana mahkamah.”

RUJUKKAN.

Pihak Syarikat merujuk kepada beberapa kes bagi menyokong hujah mereka.
Antara kes-kes tersebut, adalah
 kes Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Baru) v Rozita Binti Md Isa (1995) 2 ILR 391,
 kes Permint Plywood Sdn Bhd, Kuala Terengganu v Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkayuan Semenanjung Malaysia (1993) 1 ILR 253 dan
 kes Mahkamah Tinggi Bank Muamalat Malaysia Bhd v Mahkamah Perusahaan Malaysia & Anor (2012) 1 MELR 755.

 Kesemua kes ini secara umum memutuskan bahawa kesalahan berkaitan moral adalah satu “employment misconduct” apabila ianya menjejaskan imej dan reputasi Syarikat lebih-lebih lagi apabila Syarikat terletak di persekitaran sebuah bandar kecil.

Kesalahan dari segi moral bukan sahaja adalah satu “employment misconduct” tetapi juga adalah satu “gross misconduct” yang boleh membawa kepada pembuangan kerja.

PENDAPAT MAHKAMAH.

Pada pendapat Mahkamah ini, tidak dapat dinafikan bahawa perbuatan yang mana Penuntut-Penuntut didapati telah melakukan adalah satu kesalahan moral. Samada kesalahan moral boleh menjadi satu salahlaku pekerjaan bergantung kepada beberapa faktor, seperti nilai-nilai masyarakat sekitar, latar belakang dan jenis aktiviti Syarikat dan samada ianya adalah menjadi sebahagian dasar atau polisi Syarikat yang perlu pekerja itu patuhi kerana menjadi sebahagian dari syarat kontrak pekerjaan.

Dalam kes ini Mahkamah ini mendapati bahawa pihak Syarikat telah menjadikan kesalahan moral sebagai satu kesalahan disiplin yang mengikat pekerja apabila memasukkan kesalahan syariah dalam Dasar dan Tatatertib Syarikat. Begitu juga latar belakang Syarikat sebagai Syarikat Nasional yang perlu selaras dengan nilai-nilai masyarakat di negara ini. Selain dari itu, Syarikat ini juga terletak di bandar kecil yang penduduknya majoriti melayu Islam, pekerja Syarikat juga majoriti melayu Islam dan juga Penuntut-Penuntut ditangkap di kawasan perumahan yang penduduknya majoriti pekerja Syarikat.

 Atas sebab-sebab seperti di atas, Mahkamah ini membuat keputusan bahawa Penuntut-Penuntut telah melakukan satu perbuatan yang menjadi satu salahlaku pekerjaan dan ianya adalah satu salahlaku yang berat yang mana pembuangan kerja adalah wajar.

Oleh itu pemberhentian kerja Penuntut-Penuntut adalah dengan sebab dan alasan yang adil dan dengan ini tuntutan oleh Penuntut-Penuntut adalah ditolak.