KUALA TERENGGANU 26 Jan. - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meneruskan siri jelajah ke seluruh negara bagi membolehkan sekurang-kurangnya 60,000 kakitangan awam bertaraf sementara dan kontrak menikmati pelbagai manfaat di bawah skim perlindungan keselamatan sosial.
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, Datuk Dr. Mohamed Azman Aziz Mohammed berkata, siri jelajah telah bermula di Johor tahun lalu manakala Terengganu hari ini sebelum diteruskan ke negeri lain tidak lama lagi.
Beliau memberitahu, skim perlindungan keselamatan sosial tersebut terbahagi kepada dua iaitu Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan yang mula dikuatkuasakan 1 Januari lalu.
Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Perluasan Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu Bertaraf Sementara dan Kontrak di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) negeri, Samiun Salleh. Yang turut hadir, Pengarah Perkeso negeri, Mohamad Ramli Dahalan.
Menurutnya, meskipun sambutan agak perlahan, namun pihaknya yakin lebih ramai anggota perkhidmatan awam melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun lain akan menyertai skim berkenaan pada masa depan.
Mohamed Azman menjelaskan, antara faedah yang boleh dinikmati menerusi skim tersebut, pencarum mendapat perlindungan insurans sepanjang hayat melalui pemotongan gaji 0.5 peratus manakala majikan pula 1.75 peratus.
Bagi skim Insurans Bencana Pekerjaan, katanya, jika berlaku kemalangan di tempat kerja atau menghidap penyakit disebabkan pendedahan kepada risiko di tempat bertugas, mereka layak mendapat bayaran cuti sakit serta bayaran kekal.