Monday, December 5, 2016

Pengalaman ngeri diculik sindiket sasar pekerja Bangladesh di Malaysia

Seorang pekerja Bangladesh menceritakan bagaimana beliau diculik oleh sekumpulan lelaki dan diseksa sebelum diabaikan 5 hari di sebuah hutan di Kuantan, Pahang.
Ahkbar Dhaka Tribune berkata ia merupakan satu taktik penjenayah yang berpakat dengan kumpulan di Bangladesh, dengan menculik rakyat negara itu di Malaysia bagi tujuan mendapatkan wang tebusan daripada keluarganya di tanah air.
“Saya sedang tidur di bilik saya pada malam itu,” Mahbubul Alam, yang bekerja sebagai tukang bersih selama 9 tahun di Malaysia, memberitahu wartawan di Dhaka, beberapa jam selepas pulang.
Menurutnya, beliau didatangi 2 lelaki yang mendakwa pegawai polis yang menyuruhnya ke balai polis.
“Sebaik sahaja keluar, mereka menutup mata saya dan memaksa saya ke dalam sebuah kereta,” katanya.
Polis Bangladesh percaya Mahbubul merupakan antara mangsa sindiket penculikan yang menyasarkan pekerja Bangladesh di Malaysia.
Mereka kemudian dipaksa menghubungi keluarga di Bangladesh untuk membayar wang tebusan.
Mahbubul berkata beliau dibawa jauh ke dalam sebuah kawasan hutan, dan diseksa.
“(Mereka) memaksa saya memanggil ahli keluarga menerusi telefon untuk menyuruh membayar wang tebusan secepat mungkin,” katanya.
Penjenayah tersebut meminta wang tebusan sebanyak 1 juta Taka (RM55,000), bagaimanapun bersetuju mengurangkan jumlah tersebut kepada 300,000 Taka (RM16,500).
Dua adik-beradik Mahbubul yang dihubungi itu bagaimanapun gagal mengumpul wang itu, dan menghubungi pihak berkuasa tempatan yang kemudian membawa kes itu kepada perhatian kedutaan Bangladesh di Malaysia.
Polis Malaysia berjaya menyelamatkan Mahbubul, yang diberikan rawatan sebelum pulang ke Bangladesh semalam.
Sementara itu, pasukan anti-jenayah Bangladesh RAB berkata terdapat beberapa kumpulan penjenayah yang melakukan aktiviti serupa menyasarkan pekerja asing Bangladesh di Malaysia.
kindap
Mahbubul Alam yang bekerja selama 9 tahun di Malaysia pulang semalam menceritakan pengalaman ngeri diseksa penjenayah yang mahukan wang tebusan.