PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Selangor dan Wilayah Persekutuan serta gabungan kesatuan sekerja dari pelbagai sektor hari ini menyerahkan memorandum kepada kerajaan berhubung masalah pemberhentian pekerja dan hak untuk berkesatuan.
Pengerusi MTUC Selangor Wan Noorulazhar Mohd Hanafiah menyerahkan memorandum mengandungi 12 saranan itu kepada pegawai urusetia Perdana Menteri, Nik Mohamed Hussein Nik Ali di Perdana Putra di sini.
Memorandum berkenaan antara lain meminta kerajaan menubuhkan jawatankuasa pekerja di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menjalankan kajian terperinci demi jaminan pekerjaan dan kebajikan pekerja, katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.
Terdahulu, Wan Noorulazhar dan 200 pekerja dari pelbagai sektor dan persatuan sekerja menyertai 'Workers Walk' dari Masjid Putra hingga ke hadapan balai pengawal bangunan Perdana Putra sebelum dibenarkan memasuki bangunan itu, yang menempatkan pejabat Perdana Menteri. - Bernama