Thursday, October 20, 2016

MTUC Menyokong Tindakan National Union of Journalist (NUJ)

Kenyataan Media MTUC

MTUC  Menyokong Tindakan National Union of Journalist (NUJ)

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyokong tindakan NUJ yang membuat laporan polis terhadap tindak tidak beramanah yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap wartawan semasa perhimpunan Bersih yang berlangsung baru-baru ini. Adalah difahamkan kumpulan anti-Bersih yang lebih dikenali dengan gelaran “Baju Merah” telah bertindak ganas terhadap tiga wartawan yang sedang membuat liputan terhadap perhimpunan tersebut.
Adalah menjadi tanggungjawab wartawan untuk membuat liputan media terhadap mana-mana perhimpunan, aktiviti yang berlangsung. Oleh yang demikian, pihak berkuasa perlu memberi perlindungan yang sewajar kepada mereka yang melakukan tugasan. Dalam perkara ini adalah menjadi tanggunjawab pihak polis dan Menteri Dalam Negeri untuk menyiasat perkara ini secara wajar dan memberikan keadilan kepada pihak yang dianiaya.
Pihak yang bersalah harus dibawa ke muka pengadilan supaya perkara sedemikian tidak berulang kembali lagi. Kita sedia maklum bahawa pihak wartawan tidak memihak kepada mana-mana pihak mahupun kumpulan Bersih atau Kumpulan baju Merah. Mereka hanya menjalankan tugasan mereka.
Sekali lagi MTUC ingin menegaskan bahawa MTUC menyokong penuh tindakan NUJ dan mohon kerjasama dari pihak Polis dan Menteri Dalam Negeri menyiasat perkara ini dan memberi keadilan serta perlindungan yang sewajar kepada semua pihak wartawan.
Wartawan sememangnya mempunyai hak untuk melakukan tugasan mereka tanpa sebarang sekatan dan ugutan. Mereka hanya menjalankan tugasan mereka yang diamanahkan.

PEKERJA BERSATU RAKYAT MAJU

N.GOPAL KISHNAM
Setiausaha Agung


PETALING JAYA: Pergelutan dilaporkan tercetus antara penyokong politik, hari ini, dan beberapa wartawan dipercayai dikasari apabila konvoi Bersih melalui Kuala Selangor, petang tadi.
Malaysiakini melaporkan, beberapa wartawan diganggu dan dipaksa memadamkan gambar serta rakaman video dalam kekecohan itu.
Seorang wartawan Malaysiakini ditumbuk di bahu, manakala seorang jurugambar video dan wartawan wanita The Star dipaksa memadamkan gambar serta rakaman video.
Seorang lagi wartawan lelaki dikasari ketika cuba membantu rakannya.

Menurut laporan itu, seorang penyokong Bersih turut diganggu selepas beliau berjabat tangan dan memeluk Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah.
Seorang lelaki yang muncul di sebelah Armand kemudiannya menjerit “Jangan ganggu orang Tanjung Karang” dan meminta gambar tidak dirakamkan.
Anggota polis berhampiran segera menghentikan kekecohan itu dan menggesa kumpulan penyokong lawan bersurai.
Terdahulu pada tengah hari tadi, konvoi Bersih berarak secara aman di Sekinchan dan mengedarkan risalah di beberapa lokasi.






No comments:

Post a Comment