MOHD. KHALID ATAN
Presiden MTUC, Mohd. Khalid Atan berkata, syarat itu telah lama digunakan dan berdasarkan maklum balas yang diterima, perkara itu turut dipersetujui oleh kebanyakan pencarum dalam kumpulan wang tersebut.
Menurutnya, saranan Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (Sukaguam) semalam yang mahu syarat pencarum mengeluarkan 20 peratus caruman KWSP pada usia 45 tahun dilihat terlalu awal.
“Saya kurang bersetuju dengan saranan tersebut kerana pada usia 45 tahun mungkin ramai pencarum yang belum mempunyai jumlah caruman yang banyak apabila ia dikeluarkan ketika itu.
“Apatah lagi, syarat pencarum mengeluarkan caruman pada usia 55 tahun dan ke atas adalah amalan yang telah digunakan sejak sekian lama serta dipersetujui oleh kebanyakan penca­rum,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat semalam yang mencadang­kan syarat pada usia 45 tahun pencarum boleh mengeluarkan 20 peratus caruman mereka.
Malah, Khairul turut me­nyarankan syarat itu juga boleh diikuti dengan pengeluaran caruman KWSP sebanyak 20 peratus pada usia 50 dan pengeluaran sepenuh­nya pula pada usia 55 tahun.
Ujar Mohd. Khalid, saranan Sukaguam itu bukan sahaja perlu diperhalusi tetapi ia juga perlu mendapat maklum balas daripada majoriti pencarum KWSP agar sama ada ia dipersetujui atau tidak oleh golongan itu.
“Saya tidak mahu komen lanjut tentang isu itu kerana ia adalah hak pencarum sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan saranan itu. Apa yang saya tahu, setakat ini belum ada cadangan rasmi tentang perkara itu.
“Ia hanyalah saranan daripada Sukaguam, sedangkan kami di MTUC tidak pernah dipanggil untuk berbincang sama ada oleh KWSP atau mana-mana pihak dalam isu syarat umur dalam pe­ngeluaran itu,” ujarnya.