Monday, October 17, 2016

MALAYSIA :::54 calon bersaing sengit merebut 13 jawatan MTUC bulan depan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bakal menyaksikan pertandingan sengit bagi semua jawatan pentingnya bagi penggal
2016 hingga 2019 pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali kongres itu bulan depan.
Tumpuan pastinya diberikan kepada perebutan jawatan presiden di antara pemangku presiden Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, bekas setiausaha agung Abdul Halim Mansor serta naib presiden Zainal Ismail daripada Lembaga Air Perak pada pemilihan 30 November itu.
Abdullah Sani, yang menerajui jawatan tertinggi kesatuan sekerja itu berikutan kematian presidennya Mohd Khalid Atan pada Januari lepas, mengesahkan bahawa beliau akan bertanding jawatan tertinggi itu.
Beliau memberitahu Bernama hari ini bahawa 54 individu akan bersaing merebut 13 jawatan penting pada pemilihan itu, yang akan disertai 600 anggota perwakilan daripada 132 kesatuan pada persidangan dua hari bermula 29 November depan di Dewan Sivik, Petaling Jaya.
Abdullah Sani berkata pencalonan bagi pemilihan MTUC, yang ditutup pada 4 Okt lepas, menunjukkan pertandingan bagi semua jawatan penting dan calon-calon boleh menarik diri seminggu sebelum pilihan raya.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Telekom Mohd Jafar Abd Majid dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden bersama-sama dengan Abdul Razak Md Hassan dan Datuk Loke Yim Pheng masing-masing daripada Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan.
Beliau berkata jawatan setiausaha agung pula dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan setiausaha agung MTUC N.Gopal Krishnam, J.Solomon daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan Mohamed Dauzkaply Nor Ghazali daripada Kesatuan Amanah Ikthiar, masing-masing.
Penyandang Timbalan Setiausaha Agung A.Balasubramaniam pula dicabar A.Premkumar daripada Persatuan Eksekutif Maybank dan dua yang lain untuk mempertahankan jawatannya.

Seramai 23 anggota kesatuan dicalonkan untuk tiga jawatan naib presiden yang mewakili sektor awam, 13 dicalonkan bertanding tujuh jawatan naib presiden sektor swasta dan enam bertanding tiga jawatan naib presiden badan berkanun.    
MTUC mempunyai kira-kira 620,000 anggota daripada 162 kesatuan gabungan sektor awam, swasta dan badan berkanun.
#mtuc