Tuesday, August 16, 2016

Malaysian Law 32130 AWARD 23640 Rujukan yang dibuat dibawah seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 ( Tangkap KHALAWAT diluar waktu kerja,)

Malaysian Law 32130 AWARD 23640
NO. AWARD : 900 TAHUN 2016

Rujukan yang dibuat dibawah seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967

( Tangkap KHALAWAT diluar waktu kerja,)

RINGKASAN.

Penuntut-Penuntut berhujah melalui peguam mereka bahawa Syarikat tidak berhak untuk mengawal tindak tanduk dan akhlak pekerjanya diluar dari waktu bertugas dan di luar dari premis Syarikat melainkan kepentingan Syarikat adalah terjejas dan dalam kes ini Penuntut-Penuntut juga berhujah bahawa tiada keterangan yang dapat menunjukkan bahawa imej, reputasi atau kepentingan Syarikat adalah terjejas akibat dari perbuatan Penuntut-Penuntut.

Pihak Syarikat berhujah bahawa perlakuan ini adalah berkait dengan nilai akhlak atau moral, iaitu satu perlakuan tidak bermoral atau “immoral act”. Syarikat telah memberi keterangan melalui saksi-saksinya bahawa, sebagai sebuah organisasi yang mengeluarkan kereta nasional, kilang yang terletak di bandar kecil Pekan yang majoriti penduduk adalah orang melayu beragama Islam, 99% pekerja adalah orang melayu beragama Islam, maka adalah menjadi polisi Syarikat untuk berpegang kepada nilai peradaban setempat dan telah memasukkan nilai ini dalam Dasar dan Tatacara Tatatertib Syarikat. Antara kesalahan tatatertib di bawah Dasar dan Tataca Tatatertib adalah Klausa 35 yang menyebutkan; “Menjatuhkan imej atau nama baik syarikat melalui apa-apa cara sama ada lisan, tulisan atau perbuatan.”

Klausa 68 pula memperuntukkan antara kesalahan tatatertib adalah; “Disabitkan kesalahan jenayah, dadah, syariah atau diisytiharkan bankrap oleh mana mana mahkamah.”

RUJUKKAN.

Pihak Syarikat merujuk kepada beberapa kes bagi menyokong hujah mereka.
Antara kes-kes tersebut, adalah
 kes Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Baru) v Rozita Binti Md Isa (1995) 2 ILR 391,
 kes Permint Plywood Sdn Bhd, Kuala Terengganu v Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkayuan Semenanjung Malaysia (1993) 1 ILR 253 dan
 kes Mahkamah Tinggi Bank Muamalat Malaysia Bhd v Mahkamah Perusahaan Malaysia & Anor (2012) 1 MELR 755.

 Kesemua kes ini secara umum memutuskan bahawa kesalahan berkaitan moral adalah satu “employment misconduct” apabila ianya menjejaskan imej dan reputasi Syarikat lebih-lebih lagi apabila Syarikat terletak di persekitaran sebuah bandar kecil.

Kesalahan dari segi moral bukan sahaja adalah satu “employment misconduct” tetapi juga adalah satu “gross misconduct” yang boleh membawa kepada pembuangan kerja.

PENDAPAT MAHKAMAH.

Pada pendapat Mahkamah ini, tidak dapat dinafikan bahawa perbuatan yang mana Penuntut-Penuntut didapati telah melakukan adalah satu kesalahan moral. Samada kesalahan moral boleh menjadi satu salahlaku pekerjaan bergantung kepada beberapa faktor, seperti nilai-nilai masyarakat sekitar, latar belakang dan jenis aktiviti Syarikat dan samada ianya adalah menjadi sebahagian dasar atau polisi Syarikat yang perlu pekerja itu patuhi kerana menjadi sebahagian dari syarat kontrak pekerjaan.

Dalam kes ini Mahkamah ini mendapati bahawa pihak Syarikat telah menjadikan kesalahan moral sebagai satu kesalahan disiplin yang mengikat pekerja apabila memasukkan kesalahan syariah dalam Dasar dan Tatatertib Syarikat. Begitu juga latar belakang Syarikat sebagai Syarikat Nasional yang perlu selaras dengan nilai-nilai masyarakat di negara ini. Selain dari itu, Syarikat ini juga terletak di bandar kecil yang penduduknya majoriti melayu Islam, pekerja Syarikat juga majoriti melayu Islam dan juga Penuntut-Penuntut ditangkap di kawasan perumahan yang penduduknya majoriti pekerja Syarikat.

 Atas sebab-sebab seperti di atas, Mahkamah ini membuat keputusan bahawa Penuntut-Penuntut telah melakukan satu perbuatan yang menjadi satu salahlaku pekerjaan dan ianya adalah satu salahlaku yang berat yang mana pembuangan kerja adalah wajar.

Oleh itu pemberhentian kerja Penuntut-Penuntut adalah dengan sebab dan alasan yang adil dan dengan ini tuntutan oleh Penuntut-Penuntut adalah ditolak.






No comments:

Post a Comment