Thursday, January 31, 2013

mStar Online : MTUC, 12 Individu Dapat Kebenaran Merayu

mStar Online : MTUC, 12 Individu Dapat Kebenaran Merayu


PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 12 pengguna air diberi kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan bahawa mereka tidak mempuyai hak di sisi undang-undang untuk mempunyai akses kepada perjanjian konsesi air dan laporan audit.
Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan, yang dipengerusikan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Mohd Yusoff, sebulat suara memberi kebenaran kepada mereka untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
"Kami membuat keputusan untuk memberi kebenaran kepada mereka mengemukakan rayuan berhubung satu persoalan (undang-undang) yang dicadangkan," kata Hashim ketika meluluskan permohonan mereka untuk membuat rayuan.
Panel itu turut dianggotai Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.
Persoalan undang-undang yang dimaksudkan ialah sama ada ujian locus standi (kedudukan undang-undang) dalam keputusan Mahkamah Agung pada 1988 dalam kes Kerajaan Malaysia lwn Lim Kit Siang masih boleh diguna pakai berikutan peruntukan sedia ada dalam Peraturan-peraturan Mahkamah 2012.
Keputusan pada Rabu membuka jalan bagi Mahkamah Persekutuan untuk meneliti semula kes yang dikendalikan Mahkamah Persekutuan pada 1988 - Kerajaan Malaysia lwn Lim Kit Siang - berhubung keperluan menentukan locus standi seseorang untuk memulakan semakan semula kehakiman dalam kes yang mempunyai kepentingan awam.
Dalam hujahnya, peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili MTUC dan 12 individu berkenaan, berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu menyekat seseorang yang berasa terkilan untuk mengemukakan kes yang mempunyai kepentingan awam.
Dalam kes berkenaan, Lim Kit Siang, yang menjadi ketua pembangkang di Dewan Rakyat ketika itu, memohon mendapatkan perisytiharan bahawa surat hasrat yang dikeluarkan kerajaan kepada United Engineers (M) Bhd bagi pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan, adalah tidak sah.
Mahkamah Agung dalam keputusan majoriti 3-2, mendapati Lim tidak mempunyai locus standi untuk bertindak demikian kerana beliau (Lim) gagal menunjukkan bahawa hak peribadinya dicabuli atau beliau telah mengalami kerugian khas.
Bagi kes ini (MTUC dan 12 individu), dalam keputusan 2-1 pada 2011, Mahkamah Rayuan mendapati MTUC dan 12 yang lain tidak diberi akses kepada laporan audit dan perjanjian konsesi air yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) atas alasan mereka tidak mempunyai locus standi untuk berbuat demikian.
Hakim-hakim Mahkamah Rayuan ketika itu (kini hakim Mahkamah Persekutuan)Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Seri Abu Samah Nordin berpendapat bahawa MTUC dan individu berkenaan "bukan merupakan orang yang terjejas teruk".
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, yang tidak bersetuju dengan pendapat itu, berpendirian bahawa mereka mempunyai locus standi memandangkan air adalah keperluan asas dalam kehidupan.
MTUC dan 12 yang lain, termasuk bekas pengerusinya Syed Sharir Syed Mohamud, serta dua kanak-kanak berusia 10 dan 15 tahun, menamakan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Kerajaan Malaysia dalam saman mereka.
Pada 14 Jun, 2007, mereka mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan semakan semula kehakiman terhadap keengganan kementerian itu memberi mereka akses kepada dokumen berkenaan.
Mereka berkata sebagai pengguna air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, mereka berhak mendapat akses kepada laporan audit dan perjanjian konsesi yang ditandatangani pada 15 Disember 2004.
Mereka mendakwa laporan audit berkenaan menjadi asas bagi kenaikan tarif air sebanyak 15 peratus di Lembah Klang, yang diumumkan pada 14 Oktober 2006. Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dalam hujahnya berkata keputusan Mahkamah Agung pada 1988 masih terpakai dan oleh itu, kebenaran merayu tidak wajar diberi kepada pemohon. BERNAMA

No comments:

Post a Comment