Friday, February 15, 2013

Kesatuan tuntut Hong Leong Yamaha Motors tunai tuntutan CA

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu hari ini mengadakan piket di pekarangan Wisma Hong Leong di ibu negara tengah hari tadi menuntut agar memenuhi tuntutan Perjanjian Bersama (CA) bagi tempoh 2012-2015.Piket itu dihadiri sekitar 200 orang.

Setiausaha Agung kesatuan itu, N. Gopal Krishnam berkata, pihaknya terpaksa mengadakan piket selepas beberapa pusingan perundingan yang diadakan sejak pertengahan tahun lalu dengan pengurusan Hong Leong Yamaha Motors Sdn Bhd tidak membuahkan hasil yang memuaskan.


"Tawaran balas (daripada majikan) tidak munasabah... keuntungan tiga tahun lalu syarikat dipercayai lebih RM400 juta, tetapi syarikat hanya sedia menawar kenaikan gaji enam peratus, kami minta sembilan peratus.

"Kami juga meminta bantuan perubatan untuk keluarga... mereka setuju tetapi hanya tawar RM200 setahun, tetapi kami minta RM400," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Beliau yang juga Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Selangor dan Wilayah Persekutuan berkata, berkenaan faedah persaraan, pihaknya telah menuntut agar dinaikkan daripaa tiga peratus kepada empat peratus, selain meminta mengubah faedah persaraan sebagai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Di mana syarikat menolak syor ubah faedah itu kepada caruman KWSP," katanya.

Kesatuan juga meminta diberi faedah pergigian iaitu RM150 setahun, tetapi ditolak.

Menurut Gopal, pihaknya telah mengemukakan syor tuntutan CA sebulan sebelum perjanjian 2009-2012 berakhir 30 Jun lalu.

"Ya, kami ada beberapa pusingan perbincangan, tetapi tawaran balas tidak memuaskan kesatuan dan pekerja," katanya sambil menambah, "kami memutuskan untuk mengadakan piket kerana wakil perbicangan CA, wakil syarikat mengatakan bahawa mereka menerima mandat daripada ibu pejabat."

"Jadi, apabila perbincangan tidak berhasil, kami datang ke ibu pejabat di Kuala Lumpur untuk menunjukkan protes," katanya.

Kesatuan sudah mengadakan tiga kali piket di pekarangan kilang syarikat di Sungai Buloh bulan lalu.

"Jika kami tidak mendengar apa-apa jawapan dalam seminggu ini, kami akan mengadakan terus piket di pekarangan syarikat di Kuala Lumpur," katanya.

Hong Leong Yamaha Motors mempunyai kira-kira 800 pekerja dan daripada jumlah itu, 650 merupakan anggota kesatuan.
http://www.sinarharian.com.my/nasional/kesatuan-tuntut-hong-leong-yamaha-motors-tunai-tuntutan-ca-1.131305

No comments:

Post a Comment