Saturday, February 2, 2013

MTUC kecam paksa pekerja asing bayar levi

MTUC kecam paksa pekerja asing bayar levi - Nasional - Sinar Harian

 SHAH ALAM – Sambil menyifatkan sebagai satu tindakan tidak adil, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu mengadu di Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) keputusan kerajaan yang mengarah agar levi pekerja asing ditanggung sepenuhnya oleh pekerja-pekerja terbabit, bukan lagi majikan.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, pada 2009, kerajaan sengaja mengenakan beban pembayaran levi ke atas majikan sebagai langkah untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

“Dalam banyak tempat kerja hari ini, sebanyak 75 peratus tenaga kerja kini terdiri
daripada pekerja asing.

“Pada setiap peringkat perbincangan, Majlis Gaji Kebangsaan dan Kabinet sengaja memutuskan bahawa upah minimum baru hendaklah terpakai kepada semua pekerja termasuk dua juta pekerja asing untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia tidak mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, dalam satu kenyataan daripada Kementerian Kewangan, dasar levi tahun 1992 itu dikuatkuasakan semula kepada pekerja asing baru atau mereka yang ingin memperbaharui pas kerja, penggajian atau lawatan.

"Langkah kerajaan mengenakan levi kepada pekerja asing tidak akan membebankan mereka kerana kadar levi yang perlu dibayar adalah antara RM34.16 hingga RM154.16 sebulan berbanding peningkatan gaji mereka secara umumnya antara RM300 hingga RM500," menurut kenyataan itu.

Abdul Halim menambah, kadar Gaji Minimum Baru adalah tidak terpakai kepada pekerja-pekerja domestik sebaliknya mempersoalkan sama ada peraturan baru mengenai bayaran levi itu turut membabitkan pekerja asing.

Beliau mendakwa, tindakan Menteri Sumber Manusia dan kementeriannya mengisytiharkan kepada ILO bahawa semua perundangan buruh dan perlindungan undang-undang di Malaysia terpakai kepada semua pekerja asing di negara asal mereka adalah mengejutkan dan memalukan.

Katanya, pengisytiharan itu menunjukkan di sebalik amalan sebuah kerajaan yang mengamalkan dasar progresif.

Mengulas perkara sama, Abdul Halim turut mengecam kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menuntut di samping bayaran levi, pekerja asing juga perlu dilucutkan kemudahan penginapan dan pengangkutan.

“Jika kerajaan menyahut seruan ini, pekerja asing akan menjadi lebih teruk di bawah pelaksanaan Skim Gaji Minimum.

“Polisi baru ini menunjukkan perisytiharan kerajaan bahawa mereka berminat untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing tidak bermakna dan paling tidak ikhlas,” tegas beliau.

Beliau menambah, amalan yang memerlukan majikan membayar levi pekerja asing bukan sesuatu yang luar biasa.

Ujarnya, negara jiran seperti Singapura, majikannya bukan sahaja membayar jumlah levi yang lebih tinggi, malahan pembayaran lain turut yang dikenakan ke atas majikan.

No comments:

Post a Comment