Pekerja kilang mogok kerana masalah gaji
Suzana (kiri) dan rakannya menunjukkan notis yang dikeluarkan mengenai pelaksanaan gaji minimum RM900 bermula 1 Januari.
Pekerja kilang mogok kerana masalah gaji
Kira-kira 500 pekerja kilang memulakan mogok sejak dari jam 8 pagi, semalam.
SENAI – Kira-kira 500 pekerja kilang pengeluar komponen komputer Kawasan Perindustrian Senai di sini melancarkan mogok mengenai isu penyelarasan gaji asas minimum RM900 yang ditetapkan kerajaan awal Januari lalu kerana mendakwa ia diputarbelitkan pihak syarikat.

Salah seorang pekerja, Suzana Ismail, 41, berkata, pihak pengurusan mengeluarkan notis bertarikh 10 Januari lalu bahawa kilang itu akan melaksanakan penyelarasan gaji minimum sebanyak RM900 bermula 1 Januari lalu.

Bagaimanapun katanya, penyelarasan gaji tidak dilaksanakan sebaliknya gaji yang diterima pekerja bagi bulan Januari berkurangan.

“Sebelum penyelarasan gaji dilaksanakan kami mampu meraih pendapatan melebihi RM1,500 termasuk bayaran kerja lebih masa.

“Tetapi selepas penyelarasan dibuat, gaji tetap kami bukan sahaja tidak dinaikkan kepada RM900 malah terdapat pelbagai potongan dilakukan,” katanya.

Lebih  mengecewakan,  elaun kerja lebih masa dipotong bagi menampung jumlah jam bekerja yang  ditukar dari 44 jam kepada 48 jam seminggu tanpa notis awal.

“Kami  bertanya mengapa bayaran kerja lebih masa dipotong, mereka memberitahu itu dikira sebagai tempoh asal waktu bekerja bagi melengkapkan jumlah 48 jam.


“Kami tidak berpuashati dengan situasi ini sedangkan sebelum ini waktu bekerja kami dikira lapan jam sehari tetapi ia tiba-tiba ditukar menjadi 7.33 jam selepas penyelarasan gaji baru dilaksanakan.

“Malah kami juga tidak dimaklumkan lebih awal mengenai perubahan waktu bekerja dari 44 jam kepada 48 jam,” katanya.

Katanya, mogok akan terus dilakukan sehingga pihak syarikat memberi jaminan bertulis kepada setiap pekerja bahawa gaji asas mereka akan dinaikkan kepada RM900 tidak termasuk elaun atau bayaran kerja lebih masa.

“Masalah ini  dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan berharap nasib kami dibela,” katanya.

Selain itu, seorang pekerja warga asing, Sabir Aalam, 23, berkata, selepas penyelarasan dakwanya kekal menerima gaji asas yang sama seperti sebelumnya iaitu RM319 dan hanya menerima gaji RM900 setelah dicampur elaun dan bayaran kerja lebih masa.

“Gaji asas rakan-rakan saya yang bekerja di kilang lain sudah pun dinaikkan kepada RM900, malah mereka menerima gaji melebihi RM1,500 kerana terdapat bayaran kerja lebih masa.

“Saya juga melakukan kerja lebih masa dalam jumlah yang sama namun hanya menerima gaji keseluruhan kira-kira RM900 kerana gaji asas tidak dinaikkan,” katanya.

Dalam pada itu, wakil pengurusan kilang itu yang enggan dikenali berkata, pihak syarikat telah berusaha mematuhi arahan penyelarasan gaji minimum RM900 dengan membuat pembayaran gaji secara pukul rata (lum sum).

“Pihak syarikat sudah melaksanakan penyelarasan gaji minimum sebanyak RM900 seperti diarahkan kerajaan melalui pembayaran gaji secara lum sum termasuk elaun dan bayaran lebih masa.

“Pekerja yang sudah bekerja lebih sepuluh tahun juga akan menerima penyelarasan sama kerana kami tidak dapat membuat perubahan penyelarasan dalam jumlah yang besar kerana operasi kilang yang kecil,” katanya.

Sementara itu, Exco Perpaduan, Sumber Manusia, Sains Teknologi dan Inovasi Negeri, M Asojan, pihak JTK dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) telah ke kilang itu semalam bagi menyiasat masalah yang berlaku.

“Siasatan ini akan disambung semula esok (hari ini) sebelum laporan lengkap dan tindakan lanjut diambil bagi mengatasi masalah ini.

“Setakat ini mogok yang dilancarkan pekerja berjaya disuraikan dan mereka telah bekerja seperti biasa sejak tengah hari tadi (semalam),” katanya.

Selain itu katanya, pihak majikan dan pekerja perlu memahami mekanisme penyelarasan gaji minimum yang baru supaya masalah yang timbul tidak berlarutan.