TPP tiada faedah: Pakar ekonomi
Laporan muka depan Sinar Harian, semalam.
SHAH ALAM - Pakar ekonomi menyifatkan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) tidak mempunyai kesan positif kepada pengguna sebaliknya hanya memberi beban kewangan kepada golongan berpendapatan rendah.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Amir Baharuddin berkata, walaupun perjanjian itu masih belum dimeterai, kerajaan perlu melihat sejauh mana kesan TPP kepada orang ramai sebelum membuat keputusan muktamad.

"Saya tidak nampak perjanjian ini beri sebarang faedah kepada pengguna, malah TPP lebih banyak beri kesan buruk kerana harga barang akan naik. Kerajaan perlu lihat adakah kesan baik lebih banyak dari buruk atau sebaliknya sebelum bersetuju menyertai perjanjian ini," katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas sama ada perjanjian TPP akan beri kesan secara langsung kepada golongan berpendapatan rendah jika dilaksanakan.


Menurutnya, pengguna akan terima kesan akibat terma perjanjian tersebut yang pastinya menguntungkan Amerika Syarikat (AS)sebagai kuasa utama ekonomi dunia dan bukan negara lain.

"Kita perlu melihat sejarah lampau sebagai contoh dari perjanjian Pangkor 1874 sehingga perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), semuanya tidak menguntungkan kita.
"Kita juga perlu ingat, jika AS tergesa-gesa untuk membuat sesuatu perjanjian pastinya, perjanjian itu tidak akan beri kebaikan kepada orang lain," katanya.

Selain Malaysia dan AS, sembilan lagi negara yang menyertai TPP adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam manakala Jepun dijangka menjadi negara ke-12 menyertai TPP semasa rundingan seterusnya pada 15 hingga 25 Julai ini di Kuala Lumpur.

Perjanjian TPP dipercayai akan memberi kesan buruk kepada Malaysia terutama dalam bekalan ubat-ubatan dan industri padi.

Amir berkata, kesan ke atas kedua-dua industri ini adalah yang paling ketara kerana AS masih memegang autonomi terutama terhadap ubat-ubatan asli.

"Kesan terhadap padi pula adalah, jika AS menjual harga padi dengan murah, ini akan memberi saingan hebat kepada syarikat tempatan. Kemungkinan pengeluaran beras negara akan berkurangan," katanya.

Menurutnya, negara tidak dapat membeli barang yang lebih murah dari negara-negara luar selain peserta TPP, dan kebanyakan barang keperluan pengguna negara ini adalah produk AS.
Kajian Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menunjukkan TPP akan menaikkan harga ubat-ubatan 60 hingga 80 peratus lebih tinggi berbanding sekarang.

Menurut laporan MTEM, AS mahu semua negara TPP bersetuju dengan hak Harta Intelek (IP) yang hanya akan beri pulangan tinggi kepada syarikat farmasi negara itu.

Difahamkan, penekanan kepada hak IP ini hanya memberi keuntungan kepada syarikat gergasi kerana ubat generik, iaitu ubat lebih murah berbanding ubat asli namun mempunyai kesan yang sama dalam perubatan, tidak akan dibenarkan untuk dijual di pasaran negara peserta TPP.

TPP juga dijangka beri kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras dari AS yang menerima subsidi tinggi kerajaan negara itu, turut dipasarkan di Malaysia.

Bulan lalu, Kesatuan Kerjasama Pertanian Pusat Jepun turut menentang keputusan kerajaan negara itu menyertai rundingan TPP kerana petani Jepun bimbang mereka akan terpaksa bersaing dengan produk padi dari AS melalui penghapusan cukai produk pertanian.

TPP: Malaysia boleh tarik diri
Hamim Samuri
Hamim Samuri
SHAH ALAM – Malaysia boleh menarik diri di saat akhir perbincangan, jika ia tidak memberi faedah kepada negara ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Datuk Hamim Samuri berhubung satu rundingan perdagangan bebas (FTA) yang dinamakan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Menurutnya, bukan hanya Malaysia, malah negara lain yang terlibat dalam TPP ini juga boleh menarik diri jika merasakan tiada kepentingan untuk negara masing-masing.

“Buat masa ini, rundingan masih dijalankan dan kerajaan hanya akan bersetuju jika ia beri kebaikan. Jika di akhir perbincangan itu nanti, ada perkara yang akan membebankan rakyat, kita akan tarik diri.

“Kerajaan bukan bodoh hingga mahu gadai maruah dan kepentingan negara seperti apa disimpulkan beberapa pihak. Kerajaan akan jaga keperluan asas rakyat dan kita tidak mahu lari daripada konsep ‘Rakyat Didahulukan’,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga menafikan jika rundingan tersebut mencapai kata putus, harga barang di negara ini akan naik hingga membebankan rakyat khususnya berpendapatan rendah.

“Rundingan itu meliputi pelbagai aspek. Bagaimana ada pihak sudah buat andaian sebegitu sedangkan ia masih di peringkat perbincangan?

“Sekarang ini, runding, bukan keputusan. Perkara ini perlu jelas kerana jika ia disalah tafsir, rakyat akan anggap kerajaan tidak telus,” katanya.

Menurutnya, pihak yang tidak bersetuju dengan TPP dilihat cuba mempengaruhi rakyat dengan pelbagai cara.

“Saya sangat berharap, TPP tidak dipolitikkan. Buat masa ini, biarkan Miti teruskan perbincangan dengan pihak berkaitan. Kerajaan juga beri jaminan apa juga keputusan yang bakal dibuat, rakyat tidak akan terbeban,” katanya.

Ahli Parlimen Ledang itu berkata, isu itu akan dibahas di Dewan Rakyat minggu pertama persidangan bermula.

“Sekarang pun ada soalan-soalan yang dikemukakan dan ia pasti hangat apabila kedua-dua pihak pasti membangkitkan isu ini nanti,” katanya.

Malaysia mula menyertai TPP pada tahun 2011 dan rundingan tersebut yang sudah memasuki pusingan ke-17 dan dijangka dimuktamadkan menjelang Oktober 2013.

Miti adalah wakil perunding bagi Malaysia dalam rundingan itu yang turut disertai 10 negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. Jepun bakal menyertai pada Julai depan.

TPP didakwa dijalankan secara penuh rahsia dan dijangka akan ditandatangani Oktober depan, dengan kehadiran Presiden AS Barack Obama di salah sebuah negara Asean.