Friday, July 19, 2013

TPP: 200 NGO serah memo bantahan

TPP: 200 NGO serah memo bantahan
Badrul Hisham kelihatan sedang menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke pejabat Kementerian Perdagangan dan Industri bagi menyerahkan memorandum bantahan perjanjian TPP di Jalan Duta, hari ini.
TPP: 200 NGO serah memo bantahan
Mohd Khalid juga kelihatan hadir dalam bantahan tersebut.
KUALA LUMPUR [DIKEMASKINI] – Beberapa gabungan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengadakan perhimpunan untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada pejabat Kementerian Perdagangan dan Industri berhubung isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasific (TPP).

Kumpulan itu yang dikenali sebagai Badan Bertindak Bantah TPPA Malaysia (BBBTM) terdiri daripada 200 NGO itu mengadakan perhimpunan di Masjid Wilayah Persekutuan selepas solat Jumaat petang tadi.

Kumpulan berkenaan mula membanjiri tempat letak kereta bersebelahan dengan masjid itu kira-kira jam 2.15 petang.

Perhimpunan tersebut dilakukan selepas solat Jumaat itu bagaimanapun dilihat kurang mendapat sambutan para jemaah yang hadir menunaikan solat.

Sementara itu, turut kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam dijadikan pentas kepada wakil NGO dan berucap menggunakan pembesar suara mudah alih yang dipasang di atas kenderaan terbabit.

Antara pemimpin NGO yang menyertai perhimpunan itu ialah Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, wakil Pas, Dr Rosli Yaakob dan wakil Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Rizal Yaakob.

Kumpulan berkenaan tiba di pintu masuk pejabat kementerian terbabit pada jam 2.50 petang namun ia dikunci dan dikawal rapi pihak polis dan turut menghalang wakil NGO terbabit daripada memasuki kawasan pejabat kerajaan itu.


Bagaimanapun selepas rundingan bersemuka dengan wakil kementerian, lima wakil NGO berkenaan dibenarkan memasuki pekarangan pejabat Miti dan menyerahkan memorandum bantahan tersebut.

Suasana penyerahan memorandum itu berlangsung dengan aman tanpa insiden yang tidak diingini berlaku.

Antara kandungan memorandum termasuklah desakan supaya menganalisis kos, manfaat dan kajian perbandingan faedah agar dilaksana.

Kumpulan terbabit turut mengesa supaya hasil rundingan diumum dan diperdebatkan kepada awam.

Memorandum tersebut diserahkan wakil NGO kepada Timbalan Ketua Setiausaha Industri Miti, Datuk Nik Rahmat Nik Taib; Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan Miti, Mohd Rizal Sheriff dan Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelarasan Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas, Che Mazni Che Wook.

No comments:

Post a Comment