Wednesday, November 13, 2013

MALAYSIA:::Kajian: Majikan unjur gaji Malaysia naik 5.7%

SINGAPURA - Para majikan mengunjurkan gaji pekerja di Malaysia naik 5.7 peratus pada 2014, demikian menurut kaji selidik Trend Gaji ECA International.

Keputusan kaji selidik itu menunjukkan terdapat peningkatan gaji kira-kira 5.5 peratus di Malaysia mulai 2011 hingga 2013, dan pada 2010, ia mencatatkan lima peratus.


Ini mencerminkan peningkatan peratusan gaji yang mantap di Malaysia.

ECA International ialah pembekal utama dunia bagi pengetahuan, maklumat dan teknologi bagi pengurusan dan tugasan pekerja di seluruh dunia.

Pengarah serantau ECA International, Lee Quane berkata: "Berbanding Singapura dan Indonesia, peratus peningkatan gaji nominal Malaysia pada 2014, lebih tinggi berbanding Singapura namun lebih rendah daripada Indonesia.

"Bagi tahun ketiga berturut-turut, pekerja di Singapura boleh mengharapkan peningkatan gaji secara purata sebanyak 4.5 peratus.

"Bagaimanapun, pekerja di Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding rakan mereka di Indonesia dan Singapura, jika mengambil kira paras inflasi."
  
Menurut Lee, pekerja industri Perbankan dan Kewangan di Malaysia akan memperoleh kenaikan tertinggi.

Beliau berkata walaupun syarikat menyedari risiko makroekonomi, mereka yakin terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2014, selain mengetahui mengenai perlunya memberikan kadar kenaikan gaji yang mencukupi untuk mengekalkan modal insan mereka.

Di peringkat global, kajian menunjukkan bahawa kenaikan gaji purata pada 2014 ialah sebanyak 5.8 peratus. - Bernama

No comments:

Post a Comment