Wednesday, January 8, 2014

MALAYSIA>>>Gaji kakitangan awam pengaruhi gaji swasta


PETALING JAYA - Pakej penggajian kakitangan awam yang ditentukan kerajaan mempengaruhi dan menjadi rujukan kepada tangga gaji dalam sektor lain khususnya swasta di negara ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa kegagalan kerajaan BN melonjakkan kadar gaji di negara ini menyebabkan gaji purata dalam sektor swasta terus rendah.



Ini berikutan dasar buruh sedia ada terlalu bergantung kepada buruh asing yang murah sehingga mengetepikan tenaga kerja tempatan.

"Kerajaan bertanggungjawab menentukan kos buruh yang ditanggung majikan melalui pelbagai peraturan, yuran dan kos lain.

"Selagi kerajaan tidak mengambil langkah yang berkesan untuk menaikkan gaji pekerja, GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) tidak boleh dilaksanakan," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan rakan kongsi kanan firma perakaunan dan percukaian KPMG Malaysia, Johan Idris semalam yang menyatakan gaji perlu naik 6 peratus setiap tahun untuk mengimbangi kenaikan kos akibat beberapa siri kenaikan harga barang dan pelaksanaan GST pada tahun depan.

Rafizi dalam kenyataannya sebelum ini juga senada dengan kenaikan gaji itu sambil mengulangi pendiriannya bahawa GST tidak boleh dilaksanakan jika kerajaan tidak mengambil langkah yang berkesan untuk menaikkan gaji pekerja.

Menurut beliau, pendapatan isi rumah perlu dinaikkan terlebih dahulu secara berperingkat-peringkat sehinggalah purata isi rumah di negara ini memperolehi pendapatan yang munasabah.

“PKR telah lama mencadangkan supaya purata pendapatan isi rumah minimum sebanyak RM4,000 sebulan dicapai terlebih dahulu sebelum GST boleh dipertimbangkan,” katanya lagi.

sumber:::http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment