Wednesday, February 5, 2014

Dapat cuti sakit, dipaksa bekerja


Soalan

RAKAN saya mendapat kemalangan di tempat kerja sehingga menyebabkan kecederaan di tangan. Doktor mendapati ada berlaku keretakan pada tulang ibu jarinya dan diberi cuti selama dua bulan. Bagaimanapun majikannya meminta dia bekerja selepas sebulan cuti sakit. Apakah hak rakan saya sebagai pekerja?

Jawapan



Apabila berhadapan dengan permasalahan melibatkan hak di alam pekerjaan, isu tersebut sebenarnya perlu diteliti dengan berhati-hati berpandukan peruntukan undang-undang sedia ada.

Peruntukan undang-undang pekerjaan di negara ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu Akta Kerja 1955 dan Akta Perhubungan (Perusahaan) 1967 yang menggariskan beberapa komponen penting secara menyeluruh bagi mengelakkan majikan mengambil kesempatan di atas kelompongan perlindungan yang diberikan kepada golongan pekerja.

Akta Kerja 1955 kebiasaannya diperuntukkan kepada golongan pekerja berpendapatan RM2,000 ke bawah. Bagaimanapun, bergantung kepada perjanjian kerja yang ditandatangani antara kedua pihak. Seseorang pekerja yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM5,000 juga boleh merujuk pertikaian di bawah Akta ini.

Akta Perhubungan (Perusahaan) 1967 lebih menekankan kepada golongan pekerja berpendapatan lebih RM2,000 sebulan. Namun peruntukan di dalam akta ini lebih bergantung kepada perjanjian kerja yang berlaku antara pekerja dan majikan.

Oleh itu, sukar untuk menentukan hak seseorang pekerja tanpa merujuk kepada perjanjian pekerjaan yang ditandatanganinya. Justeru, artikel ini akan lebih merujuk kepada Akta Kerja 1955 yang mana menerusi akta ini, dapat disimpulkan beberapa faktor yang menjadi penentu sama ada hak seseorang pekerja itu dilindungi ataupun sebaliknya.

Hak pekerja

Sebagai sebuah negara berperlembagaan, undang-undang menjadi sumber rujukan utama dalam mendasari setiap tindakan perundangan termasuk apabila ia melibatkan persoalan hak dan perlindungan.

Dalam menjawab persoalan yang diutarakan, definisi pekerja perlu terlebih dahulu diteliti yang mana menerusi undang-undang pekerja merujuk kepada mana-mana orang, termasuk perantis, yang diambil bekerja oleh majikan di bawah kontrak pekerjaan untuk bekerja untuk upah atau ganjaran.

Terdapat beberapa faktor menyumbang yang perlu diberikan perhatian sebelum menentukan hak yang ada pada cuti sakit seseorang pekerja.

Bersandarkan faktor tersebut, golongan pekerja mungkin akan menyaksikan hak mereka berbeza antara satu dengan yang lain.

Faktor-faktor penyumbang kepada perbezaan ini adalah pertamanya surat tawaran dan surat pengesahan lantikan. Surat tawaran merupakan dokumen pertama yang sangat penting dan perlu diperoleh pekerja, seelok-eloknya sebelum memulakan tugas secara rasmi.

Surat ini dianggap sebagai perjanjian awal antara pihak pekerja dan majikan, ia akan menyatakan secara jelas segala hak dan perlindungan yang diberikan pekerja sepanjang bekerja di institusi berkenaan.

Selain itu, surat tawaran juga memberikan obligasi yang perlu dipatuhi pekerja dan perlanggarannya boleh menyebabkan tindakan tertentu diambil ke atas mereka. Surat tawaran biasanya mengandungi perkara penting seperti jumlah gaji, jumlah elaun, peruntukan bonus, skim cuti, skim bantuan klinikal dan tempoh percubaan.

Surat pengesahan pelantikan pula selalunya diterima setelah tamat tempoh percubaan yang dikenakan ke atas seseorang pekerja yang mana haknya akan dilindungi secara rasmi seperti dinyatakan di dalam surat tawaran.

Bagi mengelakkan berlakunya sebarang masalah pada masa hadapan, pekerja diingatkan untuk memeriksa dan meneliti terlebih dahulu isi kandungan surat tawaran bagi memastikan hak sebagai seorang pekerja dilindungi.

Faktor kedua yang menyumbang kepada perbezaan hak cuti sakit seseorang pekerja ialah tempoh perkhidmatan pekerja di institusi berkenaan di mana Seksyen 60F (1)(aa) Akta Kerja 1955 dengan jelas membahagikan tempoh tersebut kepada tiga peringkat iaitu:
i. 14 hari setahun bagi tempoh berkhidmat kurang 2 tahun;

ii. 18 hari setahun bagi tempoh berkhidmat 2 hingga ke 5 tahun;

iii. 22 hari setahun bagi tempoh berkhidmat lebih 5 tahun.

Menerusi peruntukan ini, bilangan hari cuti sakit bergaji untuk seseorang pekerja dibezakan bersandarkan kepada tempoh perkhidmatannya. Lebih lama seseorang itu berkhidmat, lebih banyak bilangan hari cuti sakit bergaji diperuntukkan kepadanya setahun.

Kebajikan pekerja

Selain cuti sakit bergaji berdasarkan tempoh perkhidmatan, Akta ini turut memberikan peruntukan khas terhadap pekerja yang dihospitalisasi melalui Seksyen 60 F (bb), yakni sekiranya pekerja mengalami kecederaan atau sakit sehingga dimasukkan ke hospital dan ditahan wad untuk menerima rawatan, maka dia layak menerima cuti sakit sehingga tempoh 60 hari sepenuhnya.

Dalam membincangkan mengenai isu cuti sakit bergaji, pekerja mestilah tidak terkeliru dengan istilah cuti sakit bergaji dan cuti sakit tidak bergaji.

Cuti sakit bergaji adalah cuti sakit diperuntukkan kepada seseorang pekerja seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kerja 1955.

Seksyen 60F (1) menerangkan syarat bagi pekerja untuk mendapatkan cuti sakit berbayar adalah pemeriksaan dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar yang dilantik oleh majikannya, atau sekiranya tiada pengamal perubatan berdaftar atau dalam situasi tertentu bergantung kepada jarak dan masa yang munasabah tidak boleh didapati, boleh diperiksa oleh pengamal perubatan berdaftar yang lain atau oleh pegawai perubatan.

Seksyen 60F (1A) turut menjelaskan pemeriksaan doktor gigi sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Pergigian 1971 turut melayakkan pekerja mendapat cuti sakit berbayar.

Sementara cuti sakit tidak bergaji adalah apabila pekerja yang kehabisan cuti sakit bergaji memohon untuk meneruskan cuti sakitnya dan gaji harian akan ditolak selama mana seseorang pekerja itu tidak kembali bekerja.

Sehubungan itu, apa yang penting di sini Seksyen 60F (2) (b); bagi melayakkan seseorang itu mendapat cuti sakit berbayar adalah pekerja tersebut hendaklah memberitahu majikannya dalam tempoh 48 jam tentang cuti sakit yang diterima daripada pengamal perubatan berdaftar seperti disebut di atas.

Bagi menjawab persoalan diutarakan, hak untuk mendapat cuti sakit yang mencukupi merupakan hak yang dimiliki pekerja. Bagaimanapun, prinsip asas keadilan yang memperuntukkan kesaksamaan dalam setiap pertimbangannya menjadikan hak pihak majikan juga harus diambil kira.

Maka, faktor yang dinyatakan di dalam artikel ini perlu dilihat yang mana tempoh perkhidmatan, jumlah cuti sakit bergaji tahunan yang diperoleh, jumlah cuti sakit bergaji tahunan yang telah digunakan dan sama ada pekerja tersebut ditahan wad atau pun tidak mestilah menjadi asas perkiraan.

Menerusi perkiraan ini, secara umumnya setiap pekerja tidak sepatutnya diarahkan bekerja pada ketika ia masih lagi mempunyai cuti sakit yang diberikan doktor. Bagaimanapun, pihak majikan berhak untuk memotong gaji pekerja berkenaan sekiranya tempoh bilangan hari cuti sakit bergaji yang diperuntukkan telah habis digunakan.

Sekiranya pihak majikan bertindak di luar prinsip perundangan, pekerja boleh berjumpa dengan peguam / kesatuan sekerja dan turut mempunyai hak untuk membuat aduan dan mendapatkan keadilan di Jabatan Tenaga Kerja.

Oleh itu, pekerja perlu peka dan teliti dalam menandatangani surat tawaran kerja yang mana perkara asas seperti cuti, bayaran klinikal dan pampasan kemalangan dapat difahami dan dipersetujui dengan sebaik mungkin demi kebajikan pekerja itu sendiri.

Jika pekerja gagal memahami isi kandungan surat tawaran yang dipersetujui, mereka mungkin akan berhadapan dengan risiko dianiayai dan tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.


sumber:::dapat cuti sakit dipaksa bekerja


BAGAIMANA MENUBUHKAN KESATUAN SEKERJA DI TEMPAT KERJA ANDA >>
http://labourbulletin4workers.blogspot.com/2013/01/bagaimana-menubuhkan-union-kesatuan.html — 

No comments:

Post a Comment