Berikut adalah petikan daripada Hansard 18/3/2014, khususnya mulai ucapan Abdullah Sani sehingga akhir...
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Terima kasih Tuan Yang diPertua. Meneruskan Titah Ucapan Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong, saya ingin merungkaikan beberapa isu yang sekarang ini diperkatakan dengan begitu hebat terutama sekali MAS yang melibatkan hampir 227 orang penumpang dan krew, pekerja MAS yang saya anggap harus diberikan doa supaya mereka ini selamat. Semua rakyat Malaysia bersatu dalam memastikan pesawat ‘HM370’ ini dapat dijumpai dalam keadaan yang selamat...
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Ronald Kiandee]: MH, Yang Berhormat.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Ya, MH. Ya, sebab saya tersilap tulis tadi ini.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Ronald Kiandee]: HM itu headmaster.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Terima kasih Yang Berhormat Baling. Isu saya hendak bawa ini ialah isu tentang kerugian MAS yang melibatkan hampir RM1.14 bilion. Itu laporan yang saya terima. Ianya berterusan dan saya diberitahu bahawa yang akan menggalas kerugian ini tidak lain dan tidak bukan ialah pekerja. Itu yang saya diberitahu.
Saya amat susah hati atau dukacita dengan keadaan ini berlaku kerana beban atas sifat bila kerugian itu pergi kepada pekerja. Jadi pengurusan tidak ditanggung atas alasan pekerjanya terlalu ramai dan ianya perlu dikurangkan atau beban tanggungan pekerja itu perlu segera diselesaikan.
Saya hendak beritahu Tuan Yang di-Pertua termasuk Yang Berhormat Baling, MAS ini, pekerja MAS, pramugari sebagai contoh, 11 tahun bekerja Yang Berhormat Baling, 11 tahun bekerja, basic baru RM1,100! Oh, dahsyat! Pramugari! Malah saya diberitahu flight allowance,
Yang Berhormat Kinabatangan, flight allowance pramugari baru RM8 satu jam! Mana mungkin kalau itulah tanggungannya, pekerja perlu disalahkan...
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Boleh minta penjelasan?
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: ...Dan pramugari terpaksa dibebankan dengan keadaan.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Ronald Kiandee]: Hendak beri Yang Berhormat?
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Saya ada 20 minit. Saya tidak boleh beri pada orang.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Ronald Kiandee]: Boleh pula tidak beri! Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Inilah kesan buruk yang harus ditanggung dan ini tidak boleh disalahkan pekerja. Pengurusan, CEO, dan Khazanah, wajib bertanggungjawab di atas kerugian yang berlaku ke atas MAS.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Kawan tidak bolehkah?
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: ...Dan ianya tidak boleh dikompromikan. Saya tidak mahu dengar cerita MAS, pekerja MAS akan dibuang kerja sebab kerugian demi kerugian. Orang yang patut disalahkan ialah pengurusan yang tidak efisien dan bertanggungjawab! [Tepuk]
Kita hendak doakan Tan Sri Aziz yang lahirnya dahulu akan datang kembali untuk meraih keuntungan dan menyelamatkan MAS daripada bagi pada Khazanah yang tidak tentu arah pentadbirannya...
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Boleh..
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Kinabatangan.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Ini disambung keduanya ke atas pembuangan- sedikit sahaja. Pembuangan kerja yang dibuat oleh CEO, MAS. ini Kritik pasal kerugian buang kerja tanpa melalui lunas-lunas undang-undang di bawah seksyen 14 Akta Kerja. Dapat tangkap, buang, tangkap, buang. Orang buat petisyen kenapa rugi, tidak boleh! Kritik, tidak boleh! Presiden NUFAM, Saudara Ismail dibuang kerana mengkritik atas kerugian MAS yang patut dikaji oleh kerajaan. Begitu juga dengan empat orang pegawai Kesatuan NUFAM yang dibuang atas alasan mereka
ini membantah dan tidak diakui undang-undang oleh pengiktirafan yang dibuat oleh sumber manusia terhadap pengurusan MAS. MAS dengan begitu biadab tidak membenarkan hak pekerja itu ditegakkan. Apa punya pentadbiran ini? Ha, Yang Berhormat Kinabatangan du a minit sahaja.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: [Ketawa] Dua minit cukup banyak.
Yang Berhormat, dari dulu saya punya pendirian memang jelas bahawa MAS ini kerajaan perlu meneliti ke arah mana ia diletakkan sebab menghadapi kerugian. Cuma saya tidak sentuh kelmarin sebab kita masih berada dalam keadaan kehilangan MH370. Akan tetapi Yang Berhormat sudah sentuh, jadi memang betul bahawa perkara yang dibuat oleh MAS ini memang tidak tepat. Dia rugi dalam bidang operasinya, sebab operasinya dia tidak boleh kawal sedangkan penumpang penuh tiap-tiap hari.
Saya rasa MAS ini, dia ada satu tindakan yang salah memberi ruang kepada Air Asia pula untuk ke destinasi yang seharusnya MAS terbang. Jadi apa komen Yang Berhormat?
Apakah Yang Berhormat ingin meminta kerajaan supaya betul, jangan kerajaan hendak ambil alih sebab dia tidak tahu berniaga. Bagi orang lain.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Setuju sangat. CEO ini patut dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kerugian MAS ini, bukan digalas oleh pekerja-pekerja yang saya lihat bahawa mereka dilayan dan ditarik hak mereka keterlaluan. Maka YangBerhormat Menteri Pengangkutan dengan izin tampil ke depan dan komited untuk menyelesaikan masalah pembuangan kerja yang zalim ini dan jangan disalahkan pekerja sekiranya kerugian itu berlaku dan sepatutnya digalas oleh CEO dan juga pengurusan management tertinggi yang tidak melaksanakan tugas dengan efisien dan bertanggungjawab.
Kedua isu termasuk juga pembuangan kerja Presidennya, Saudara Ismail perlu diambil tindakan segera kerana mereka, MAS tidak menggunakan landasan undang-undang di bawah seksyen 14 yang sepatutnya dan sewajibnya di akur dan dipatuhi.
Tuan Yang di-Pertua, nombor dua- NUBE. Saya sudah bagi tahu terlebih awal, iaitu NUBE dalam krisis pertukaran mereka sebanyak 49 orang non-executive yang mana telah pun dibuat perbincangan dan sebagainya, Sumber Manusia di bawah JPP bagi tahu di bawah seksyen 18 mengatakan, baik kita akan runding, runding, tetapi pihak Hong Leong terus-menerus membuang 49 orang ini kerana transfernya tidak munasabah. Mana mungkin daripada Kelantan dia kena tukar ke Puchong. Daripada Johor tukar ke Pulau Pinang dalam keadaan yang tidak ada persiapan. Maka saya menyeru kepada Kementerian Sumber Manusia supaya pastikan bahawa mereka ini akur di bawah seksyen 56, Akta Perusahaan 1967 bahawa jangan langgar perjanjian bersama yang jelas menyatakan dengan izin, “A bank staff who is a Union members has the right to refuse a transfer based on the condition of hardship”. Ini adalah jelas mengapa mereka khianati undang-undang yang mereka buat di bawah peraturan seksyen 56, Akta Perusahaan 1967.
Maka yang demikian, saya sarankan Kementerian Sumber Manusia supaya tampil sedikit kejantanannya dan tegas dalam memastikan keputusan dibuat, jangan menganiayai rakyat sendiri. Saya pohon kementerian sesungguhnya dengan rela hati memanggil kedua-dua pihak ini supaya selesaikan di bawah seksyen 18 di meja perundingan. Ini tugas Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia.
Seterusnya pelaut. Bila sebut saya dapat jawapan daripada pelaut, daripada Kementerian Pengangkutan yang mana jawapannya ialah tidak setimpal dengan maklumat yang saya terima. Maknanya tidak selari.
Tuan Yang di-Pertua, mengikut laporan yang dibuat oleh Dato' Kapten Haji Ahmad bin Othman, Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut, Malaysia memerlukan 43,000 pelaut tempatan. Oh, dahsyat! Akan tetapi yang jelasnya, pekerja-pekerja yang berada dalam penambahan sekurang-kurangnya 43,000 itu untuk menampung keperluan sektor perkhidmatan perkapalan negara ini dipenuhi oleh pekerja-pekerja pelaut asing yang memastikan dalam untuk mencapai 43,000 pelaut ini dalam kadar pelaut yang mewakili nisbah jika mengikut nisbah seorang pelaut adalah mewakili 4,500 penduduk dunia.
Dengan ini saya ingin menyarankan kepada Kementerian Pengangkutan bahawa isu pelaut ini, isu pelabuhan ini perlu dikendalikan secara berasingan supaya penumpuan untuk memastikan Laut China Selatan, Selat Melaka itu dikawal selia oleh pelaut tempatan dan sampai ke tahap untuk memastikan kita ada Universiti Pelaut. Ini kerana pada masa akan datang, pelaut ini akan hanya mereka yang mendapat sijil pelaut sahaja yang boleh berlegar dalam laut, termasuk nelayan.
Maka yang demikian, saya ingin sarankan kepada Kementerian Pengangkutan supaya menyediakan persiapan dalam memastikan pelaut kita ini tidak dimonopoli oleh pelaut asing. Saya khuatir bila sebut pelaut-pelaut asing ini, kita sudah barang tentu laut itu luas dan keselamatan tidak terjamin. Maka yang demikian, saya memohon kepada Kementerian Pengangkutan supaya serius dalam memastikan kita melahirkan pelaut tempatan dari kita kebergantungan kepada pelaut asing.
Keempat, kuasa Menteri di bawah seksyen 60, bila tubuh pengiktirafan. Saya sudah bagi tahu sebelum itu kementerian iaitu apabila syarikat itu mengkhianati dan melengah waktu tidak menghormati undang-undang negara, syarikat itu perlu dihukum. Saya sudah bagi tahu dalam Dewan yang mulia ini tetapi kementerian tarik balik di atas sifat bila Borang B itu diberikan kembali oleh pihak syarikat, tetapi kementerian bersetuju untuk kompromi.
Kita hendak tengok syarikat ini supaya akur tentang undang-undang dan mereka ini perlu dihukum kalau mereka mengkhianati undang-undang Tuan Yang di-Pertua. Ini yang kita hendak tegaskan. Akan tetapi yang jelas ialah bila diberikan Borang B, maka bila syarikat beri Borang B, kementerian pun rasa lemah dan terus memberi peluang kepada syarikat yang makin banyak mengkhianati, mengkhianati hak pekerja dalam negara ini.
Saya mohon kementerian supaya tindakan di bawah seksyen 60 itu perlu tegas dan bagi tahu dengan syarikat yang pengkhianat ini, kamu ambil hasil untung, tetapi pekerja kamu khianati. Kementerian Sumber Manusia, saya memohon diberi penjelasan mengapa ditarik balik sedangkan kita perlu memastikan bahawa syarikat-syarikat ini yang tidak menghayati atau tidak apply dalam segi gaji minimum RM900. Ada lebih 100 buah syarikat yang tak buat. Hukum syarikat-syarikat ini. Untung ambil, tetapi pekerja dibiarkan sengsara hidup mereka. Sudah buat akta, takut apa lagi? Jalankan tugas!
Sudah masuk dua tahun Tuan Yang di-Pertua, gaji minimum RM900 ini termasuklah negeri-negeri mana pun. Termasuk sesiapa sahaja, RM900 itu wajib kita akur. Begitu juga dengan persaraan 60 tahun. Bila kita berdebat, dia kata kementerian beri kelonggaran. Tak payah beri kelonggaran, sudah setuju, sudah buat akta dalam Dewan yang mulia ini, teruskan. Jangan khianati akta yang kita telah dukung ini. Jangan jadi munafik. Sekejap ya, sekejap ya, sekejap tidak! Apa ini?
Selepas itu dalam segi penjawat awam. Saya sudah bagi tahu 49,000 penjawat awam yang kontrak, tiga tahun lebih. Saya mohon Jabatan Perdana Menteri untuk memberikan mereka peluang yang bekerja tiga tahun ke atas itu diberikan pekerja tetap. Saya tidak nampak kenapa alasan dibiarkan mereka bekerja kontrak sehinggakan 11 tahun, 12 tahun, sehinggakan menyebabkan mereka sengsara, hanya menunggu nasib pada tiap-tiap dua tahun sekali.
Saya pohon Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan bahawa 49,816 orang ini mereka layak tiga tahun, tolonglah confirm, termasuk guru sandaran, termasuk Kementerian Pelancongan, Kementerian Perusahaan. Ini yang saya hendak tegaskan bahawa janganlah kita letakkan tenaga mereka sebagai perjudian dan mengambil hasil perahan mereka, tenaga mereka dan untungnya dan ruginya mereka sendiri atau pekerja. Ini saya mohon supaya kementerian, Jabatan Perdana Menteri supaya segerakan untuk memastikan 49,816 orang ini selepas tiga tahun kelayakan mereka, yang 11 tahun, 12 tahun itu, tolonglah permanentkan mereka.
Begitu juga dengan uniform nurseuniform nurse. Saya diberitahu nurse dapat tiga helai baju uniform.
Saya minta sebab tidak pernah di cerita oleh dek orang, saya minta dengan jasa baik Jabatan Perdana Menteri supaya tiga helai itu dijadikan lima helai sebab bila masuk suku tahun ataupun setengah tahun, dia punya baju itu nampak macam pakai, tak pakai jarang dia. Jadi saya mohon supaya nurse ataupun uniform ini dibekalkan dengan lima helai baju, bukan tiga helai sebab tiga helai ini dia transparancenya cepat. Jadi akan menyebabkan banyak orang sakit jantung. Maka yang demikian, saya minta kementerian untuk tambahkan baik iaitu daripada tiga set uniform kepada lima set uniform.
Begitu juga dengan elaun guru besar, keraian daripada RM100 itu ditambahkan kerana apabila dia meraikan tetamu RM100 sebulan Tuan Yang di-Pertua, hendak buat apa. Guru Kanan RM60. Tolonglah, tolonglah tambahkan...
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Yang Berhormat.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: ...Atas sifat untuk memastikan mereka tidak terjebak iaitu hasil daripada poket mereka sendiri yang memberikan, Yang Berhormat Kinabatangan sekejap. Saya ada lagi 10 minit.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Polis pun tiga baju juga.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Ha, polis pun. Semua uniform, semua uniform Yang Berhormat Kinabatangan. Ini saya suka uniform fasal pekerja. Yang lain saya tidak suka dia. Yang itu saya suka dia fasal dia menyertai saya dalam untuk memastikan jangan disebabkan uniform itu penyakit lain datang seperti kurap dan sebagainya.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Tuan Yang di-Pertua, saya minta ia dipertimbangkan. Seterusnya...
Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: [Bangun]
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Yang Berhormat Kalabakan saya kena bagi Tuan Yang di-Pertua. Kakanda saya. Kambing, kambing. Kari kambing.
Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: Yang Berhormat, Yang Berhormat ada sebut fasal gaji minimum. Gaji minimum ia tidak boleh diimplementasikan di Sabah kerana kita tahu keadaan negeri Sabah ini berlainan sebab di sana pekerja-pekerja yang datang itu mereka ini datang RM600, RM500 gaji. Jadi, kalau gaji minimum ini dikuatkuasakan, mungkin bermasalah bagi majikan-majikan. Jadi, apa cadangan Yang Berhormat?
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Terima kasih Tuan Yang diPertua. Yang Berhormat Kalabakan, memang saya setuju di Sabah RM800, di Semenanjung RM900. Kenapa hendak dibezakan dua-dua ini sedangkan kos sara hidup di Sabah dan Sarawakitu lebih tinggi 20% daripada Semenanjung. Maka yang demikian, saya cadangkan kementerian kepada Majlis Konsultasi Gaji Minimum yang ditubuhkan pada 2012 itu kaji semula. Jangan ada diskriminasi. Kalau RM900, RM900 semua. Malah saya cadangkan supaya ditambahbaikkan Sabah dan Sarawak kerana mereka dalam kos penghidupan yang lebih tinggi Yang Berhormat Kalabakan. Saya juga tidak boleh katakan bahawa kita tidak boleh katakan kehidupan sana berbeza. Tidak, Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, saya pergi Sabah, saya tengok barang dekat Sabah itu, tidak tahulah tempat Tuan Yang di-Pertua tidak tahulah tapi di Sabah, Kota Kinabalu harganya saya tengok lebih mahal 20%. Dahsyat tapi kenapa kita mendiskriminasikan pekerja di sana. Saya sarankan...
Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: Yang Berhormat Kuala Langat.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: ...Kementerian Sumber Manusia di bawah Majlis Konsultasi Gaji Minimum supaya pastikan tidak ada diskriminasi. Diskriminasi Yang Berhormat Timbalan Menteri, dengar itu jangan ada diskriminasi...
Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: Gaji.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: ...Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Yang Berhormat Kalabakan, saya ada lagi dua minit.
Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: Tidak, tidak. Bukan, mahu tanya last sebab kita ini Ahli-ahli Parlimen kalau dia pencen, dia paras kemiskinan. Gaji Yang Berhormat sendiri sedia maklum, gaji Ahli Parlimen di Malaysia ini terendah di dunia. Jadi, kenapa tidak cadang? Sarawak...
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Okey Yang Berhormat Kalabakan. Ini sudah selesai sebab...
Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: Yang Berhormat, Sarawak lagi tinggi daripada kita.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Itu kita sudah selesai sebab kita sudah ambil kata sepakat...
Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: Belum, belum ini belum selesai.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Saya...
Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: Yang Berhormat, ini belum selesai.
Tuan Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Setiu]: Yang Berhormat Kuala Langat...
Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Salleh [Kalabakan]: Ini belum selesai. Kenapa Yang Berhormat tidak suarakan dalam Dewan? Patut suarakan dalam Dewan.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Ya, ya. Tuan Yang di-Pertua...
Dato' Shamsul Anuar bin Haji Nasarah [Lenggong]: Dia takut Yang Berhormat Permatang Pauh, takut Yang Berhormat Permatang Pauh.
Tuan Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Setiu]: Yang Berhormat Kuala Langat.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Yang Berhormat Kalabakan, ini dimasukkan sebahagian dalam ucapan saya. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, apabila kita mengatakan bahawa PBS...
Tuan Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Setiu]: Yang Berhormat Kuala Langat, Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Setiu bangun Yang Berhormat.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Sudah, sudah cukup.
Tuan Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Setiu]: Sedikit, sedikit. Tanya sedikit sahaja.
Dato' Shamsul Anuar bin Haji Nasarah [Lenggong]: Yang Berhormat Permatang Pauh sudah senyum itu, boleh.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Baru-baru ini Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri mengatakan bahawa PBS ini akan ditambahbaikkan.
Saya hendak beritahu dengan Tuan Yang di-Pertua, PBS ini membebankan guru-guru. Guru guru disuruh mengajar bukan mengambil pangkalan data pelajar. Saya minta Kementerian Pendidikan supaya jangan beban pada guru-guru yang fokusnya untuk melahirkan insan madani, melahirkan insan yang profesional dan bermaruah. Yang itu yang kita hendak ketengahkan.
Saya bagi pihak guru-guru selaku Timbalan Presiden MTUC, menyuruh saya untuk melontarkan perkara ini kepada Parlimen untuk memastikan PBS ini tidak boleh dikompromikan walaupun tiga perkara untuk penambahbaikan, ini semua tidak baik. Semua menyusahkan guruguru yang tertekan dalam suasana mereka hendak mengajar dan mendidik anak bangsa. Maka yang demikian, Yang Berhormat Menteri Pendidikan, saya mohon supaya tidak payah hendak tambah tiga kebaikan. Yang penting fokus itu. Guru, tugas mereka melahirkan, menjana generasi yang mulia. Saya minta jangan ada lagi untuk apa-apa yang membolehkan katanya memastikan profesionalisme guru-guru itu terjamin. Tidak terjamin PBS ini sampai tiga empat pagi. Besok hendak mengajar lagi.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Masa cukup.
Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [Kuala Langat]: Tidakkah pening dan kusut otak mereka? Maka, saya tegaskan bahawa PBS tidak manfaat dalam segi menggalas. Kalau hendak buat boleh, suruh pekerja lain buat. Ambil pekerja lain untuk fokus kepada pangkalan data. Barulah selesai dan saya rasa tidak ada perbalahan dalam isu PBS ini kerana kita semua setuju bahawa ia membebankan guru-guru.
Seterusnya terakhir Tuan Yang di-Pertua, kawasan saya pula, kawasan saya ini. Kawasan saya ini baru-baru ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah pergi ke Pulau Carey dan berjanji bahawa RM2.6 juta akan disalurkan komputer-komputer di seluruh sekolah Pulau Carey. Akan tetapi pada hari ini, sampai hari ini sebelum pilihan raya, sampai ke sekarang tidak ada bayangnya. Saya mohon Yang Berhormat Menteri Kewangan untuk menjinakkan kata murninya itu supaya dapat dikotakan, supaya rakyat Pulau Carey dapat menikmati komputer disekolah-sekolah yang mereka perlukan. Betapa daifnya sekolah itu yang telah disaksikan. Tidak akanlah sebelum pilihan raya, bila sudah kalah tidak mahu mari dan tidak mahu berikan komitmen. Saya rasa selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, wajib mengotakan katakatanya, RM2.6 juta komputer di setiap sekolah di Pulau Carey telah dijanjikan. Mohon Yang Berhormat Menteri Kewangan menepati janjinya. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Panas ini Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.
Syabas saudara ....
ReplyDelete