Monday, March 3, 2014

MALAYSIA::: MC PALSU - Doktor kaut untung jual 'kertas'

  • Doktor kaut untung jual 'kertas'Pesakit menunggu di kaunter untuk pendaftaran.
BERMODALKAN kertas, keuntungan boleh mencecah ratusan ribu dalam sebulan dan boleh mencecah jutaan dalam setahun.

Sebahagian doktor kini telah hilang etika dan sanggup mendapatkan keuntungan dengan jalan mudah mengetepikan profesional seorang pengamal perubatan.

Begitulah perniagaan sijil perakuan sakit atau mudah dikenali sebagai  MC yang boleh diperoleh dengan mudah di Lembah Kelang sekarang.


Salah laku dan penipuan memperoleh MC kini sudah menjadi ‘trend’ masyarakat Malaysia walaupun tidak sakit.

Namun begitu, tidak dinafikan, MC diperuntukkan oleh majikan atau syarikat dalam setahun kepada pekerja , namun keistimewaan tersebut dimanipulasikan oleh pekerja atau pengamal perubatan.

Tinjauan  di beberapa klinik sekitar Lembah Kelang mendapati MC beli ini mudah diperoleh tanpa syarat malah membawa keuntungan berlipat ganda kepada doktor yang mengetepikan prinsip.

Persoalannya, perkara ini tidak akan timbul sekiranya tiada permintaan, bagaimanapun, soal etika pengamal perubatan boleh dipersoalkan setelah jelas melanggar prinsip pengamal perubatan.

Bagi pekerja pula, tidak timbul soal etika ataupun tidak kerana pelbagai alasan dan sebab untuk mendapatkan MC beli.

Berdasarkan siasatan dan tinjauan, MC beli atau palsu ini boleh dibeli serendah dengan harga RM10 untuk sehari malah boleh dilanjutkan beberapa hari ke hadapan.

Lebih menarik, klinik turut membenarkan pekerja mendapatkan MC untuk tarikh sebelumnya  tanpa sebarang pemeriksaan.

Sejauh mana MC boleh diberi dengan mudah, ianya dapat dilihat dengan niat sama ada pekerja atau doktor itu sendiri kerana pada amalannya, MC hanya diberi kepada pesakit yang benar-benar memerlukannya.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum ini pernah menjalankan kajian  apabila seramai 3 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam didapati memalsukan sijil cuti sakit mereka .

Walaupun angka tersebut tidak membimbangkan namun jika ditukar ke angka sebenar, jumlahnya hampir mencecah 36,000 orang memperoleh MC dengan salah.

Cuepacs juga pernah mendedahkan kira-kira 14,700 penjawat awam muda yang berusia 30 tahun ke bawah kerap mengambil cuti sakit walaupun mereka sebenarnya sihat.

Jumlah ini membabitkan sekitar 3 peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan awam iaitu seramai 1.4 juta orang.

Jelas dari rekod tersebut, perkara ini menunjukkan berlakunya sindiket atau perbuatan tidak bermoral di kalangan doktor .

No comments:

Post a Comment