Tuesday, March 11, 2014

MALAYSIA:::Majikan lewat bayar gaji

  • Majikan lewat bayar gajiPengawal keselamatan ini berharap isu kelewatan pembayaran gaji oleh majikan mereka segera berakhir.
sumber:::SINAR HARIAN
KUALA BERANG - Senasib! Demikian situasi dihadapi kira-kira 50 pengawal keselamatan di beberapa sekolah di daerah ini yang turut diselubungi dilema sebagaimana pengawal keselamatan di Batu Rakit gara-gara lewat dibayar gaji oleh majikan.

Sinar Harian 18 Februari lalu menyiarkan keluhan pengawal keselamatan di Batu Rakit, Kuala Terengganu yang terpaksa merayu untuk mendapatkan gaji mereka dan ternyata senario sama juga dihadapi golongan berkenaan di daerah Hulu Terengganu ini.


Seorang pengawal keselamatan, Mohd Omar, 38, dari Kampung Telaga berkata, masalah itu mula dihadapi kira-kira tujuh bulan lalu apabila kontrak untuk pengawal keselamatan bertukar tangan kepada syarikat baharu.

“Saya berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah sejak enam tahun lalu. Sebelum ini tak berdepan masalah ini, namun di bawah majikan sekarang setiap bulan terpaksa hadapi situasi sama.

“Walaupun ikut surat tawaran pekerjaan diterima, majikan berjanji akan bayar gaji setiap bulan pada 7 hari bulan, namun hakikatnya ia bukan sahaja lewat sehingga hujung bulan, tapi turut dilakukan secara beransur-ansur,” katanya.

Katanya, apabila gaji lewat dibayar, dia terpaksa menebalkan muka meminjam duit daripada ahli keluarga atau rakan-rakan bagi menampung perbelanjaan.

“Apatah lagi saya mempunyai empat anak berumur antara 4 hingga 9 tahun,” katanya.

Sementara itu, Mohd Arsad Mohammed, 33, dari Kampung Dusun berkata, mereka bukan sahaja lewat menerima gaji, tetapi turut mendakwa potongan Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dicarum.

“Masalah ini telah diadu kepada pihak berkaitan termasuk pejabat pelajaran daerah dan saya benar-benar berharap, pihak terlibat dapat jadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah kami dengan syarikat kawalan keselamatan ini.

“Perkara ini telah diberitahu kepada individu yang bertugas sebagai pegawai ronda, namun dia hanya beri alasan tidak tahu. Kelewatan menerima gaji daripada majikan menjejaskan pelbagai perancangan perbelanjaan,” katanya.

Bagi Mohamed Ismail, 60, yang sudah 12 tahun berkhidmat sebagai pengawal keselamatan, dia  berharap pihak terlibat serta kerajaan dapat melihat kebajikan pengawal keselamatan sepertinya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas daripada syarikat berkenaan gagal.

No comments:

Post a Comment