Friday, April 4, 2014

MALAYSIA:::Gaji minimum: Pekerja kontrak sekolah belum terima

  • Khalid Atan
PETALING JAYA - Lebih 60,000 pekerja kontrak dalam sektor pelajaran di seluruh negara belum menikmati gaji minimum seperti yang ditetapkan kerajaan, kata presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan.   
Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata pekerja terbabit, termasuk pencuci, tukang kebun, pengawal keselamatan dan warden lalu lintas, masih dibayar gaji lama dengan kadar purata RM400 dan RM600 sebulan. 
Oleh itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan segera memberi perhatian terhadap nasib golongan berkenaan yang menghadapi keperitan akibat kenaikan kos sara hidup. 
Dasar gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung Malaysia dan RM800 sebulan bagi Sabah dan Sarawak, berkuatkuasa pada 1 Jan 2013, tetapi hanya dilaksanakan sepenuhnya Januari tahun ini. 
Bagaimanapun, ada juga majikan diberi pengecualian lanjutan hingga 1 April lepas untuk melaksanakannya. 
Khalid menyeru Kementerian Sumber Manusia meningkatkan urusan penguatkuasaannya untuk memastikan dasar itu dipatuhi semua pihak.
Beliau berkata MTUC difahamkan bahawa kementerian itu tidak mempunyai pegawai penguatkuasa secukupnya untuk berbuat demikian dan jika perkara itu benar, MTUC sedia membantu. 
Khalid mengesyorkan agar pemimpin bahagian MTUC membantu dalam urusan penguatkuasaan dasar itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment