Wednesday, June 11, 2014

Kesatuan sekerja mahu bayaran pencen pesara GLC disemak semula

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan-kesatuan Sekerja dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), hari ini memohon kerajaan memasukkan semakan semula bayaran pencen bagi pesara GLC dalam agenda Belanjawan 2015. 

Presidennya, Mohamed Shafie BP Mammal berkata berdasarkan kajian pihaknya, ada pesara GLC mendapat bayaran pencen serendah RM150 sebulan. 


"Sehubungan itu, pihak kesatuan telah menyediakan satu memorandum bagi memohon supaya semakan semula bayaran pencen. Ia akan diserahkan kepada perdana menteri untuk pertimbangan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini. 

Memorandum itu akan diserahkan Penasihat Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Omar Osman, kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum Ramadan ini. 

Mohamed Shafie berkata pihaknya mencadangkan supaya bayaran pencen bagi pesara GLC dinaikkan kepada minimum RM750 sebulan, sesuai dengan kos sara hidup sekarang. 

Beliau yang juga Presiden UNI-MLC turut meminta jasa baik kerajaan menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi mengkaji cadangan terutamanya yang melibatkan kebajikan pesara GLC. 

UNI-MLC merupakan gabungan lebih 70 kesatuan sekerja awam dan swasta termasuk kesatuan dalam GLC, yang dianggotai kira-kira 350,000 pekerja dalam pelbagai sektor. - BERNAMA 

sumber:::sSs

No comments:

Post a Comment