Saturday, June 28, 2014

Kualiti Puasa dan Hasil Kerja

Kita sering mendengar contoh penting tentang kemenangan tentera Islam dalam perang badar semasa bulan ramadhan. Ini adalah satu contoh besar yang boleh kita renungi. Satu teladan mudah yang dapat kita pelajari daripada sejarah perang Badar itu ialah kekuatan luar biasa yang dikurniakan Allah s.w.t kepada orang-orang yang berpuasa.
Namun hari ini saya percaya masih ramai tercari-cari apakah kekuatan yang mampu diperoleh dalam kehidupan kita sehari-hari sepanjang melaksanakan puasa bulan ramadhan ini? Dengan soalan lain apakah kelebihan yang dapat kita lihat atau peroleh secara tunai hasil daripada puasa kita?
Mari kita lihat apakah prestasi kerja kita semasa bulan biasa dan apakah keadaannya pada bulan puasa ini? Ada orang mengatakan puasa boleh menjejaskan prestasi kerja. Oleh itu ada orang bersedia untuk bertolak ansur dengan hasil kerja yang kurang baik – kurang produktiviti dan kurang kualiti atas alasan kerana puasa.
Adakah anggapan itu betul? Pastinya tidak. Dan pada saya itu tidak sepatutnya. Persepsi puasa menjejaskan prestasi kerja adalah tidak benar. Sebenarnya kemerosotan atau peningkatan tahap prestasi kerja semasa bulan puasa merupakan petunjuk pada kualiti puasa seseorang itu sendiri.
Jika kualiti puasa kita baik maka hasil kerja kita pun sepatutnya baik. Maksudnya ia akan mencapai tahap kualiti dan produktiviti yang lebih baik daripada bulan-bulan biasa. Begitulah sebaliknya jika hasil kerja kita merosot, ia turut menggambarkan kualiti puasa yang kita laksanakan perlu disemak. Tentu ada yang tidak kena dengan puasa kita.
Semoga Allah s.w.t memberikan Taufik dan Hidayah kepada kita agar kita mendapat kekuatan untuk menjaga puasa kita dan melaksanakan tugas, tanggungjawab dan amanah dengan sebaik-baiknya.
Wallhu’alam.

No comments:

Post a Comment