Sunday, June 15, 2014

MALAYSIA:::Kesatuan guru anggap masalah disiplin pelajar serius

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan menggesa Kementerian Pelajaran mengumumkan keputusan peraturan baharu yang memberi lebih kuasa kepada sekolah untuk mengawal disiplin pelajar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Jun, 2014.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan menggesa Kementerian Pelajaran mengumumkan keputusan peraturan baharu yang memberi lebih kuasa kepada sekolah untuk mengawal disiplin pelajar. – Gambar fail.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mentakrif masalah disiplin pelajar kini mencapai tahap serius dan mahu Kementerian Pelajaran menubuhkan pasukan petugas untuk menanganinya.
Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng turut menggesa Kementerian Pelajaran mengumumkan keputusan peraturan baharu yang memberi lebih kuasa kepada sekolah untuk mengawal disiplin pelajar, yang dibincangkan sejak empat tahun lepas.
Beliau berkata penubuhan pasukan petugas itu tidak boleh dilengahkan lagi memandangkan disiplin pelajar semakin meruncing sehingga tidak terkawal akibat pengaruh pelbagai unsur tidak sihat khususnya Internet.
"Budaya buli sama ada buli melalui siber atau buli fizikal tidak boleh dipandang ringan kerana ia merosakkan pelajar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat KPPK cawangan Perlis di Kangar hari ini.
Lok yang juga Setiausaha agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata pelajar nakal merupakan perkara biasa tetapi apabila berlaku kejadian buli atau pergaduhan berkumpulan dan satu kumpulan memukul seorang pelajar ia merupakan kes serius.
"Masalah disiplin dicetuskan oleh banyak pelajar yang banyak menghabiskan masa melayari Internet, mengakses bahan tidak bertapis seperti lucah dan main permainan video. Masalah ini lebih berat apabila guru terbabit sama menghabiskan masa bersembang di Internet.
"Perkembangan ini mulai menjadi budaya dan akhirnya pelajar yang dihasilkan tidak berkualiti serta tidak mahir untuk menjadi warganegara cemerlang," tambahnya.
Beliau berkata selain sikap ibu bapa yang membawa kepada punca disiplin pelajar tidak terkawal, ia juga disebabkan guru tidak diberi hak untuk merotan pelajar untuk mendisiplinkan mereka.
Katanya antara sebab KPPK ingin berkongsi perkembangan ini dengan badan-badan bukan kerajaan seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ialah supaya mereka serius untuk terlibat membantu membaiki disiplin pelajar.
KPPK akan terus mendesak Kementerian Pelajaran untuk melantik seorang guru sebagai ketua guru disiplin yang diberi kuasa dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan khususnya terhadap pelajar samseng.
Dalam perkembangan semasa, Lok turut mengingati guru supaya tidak lalai melaksanakan tanggungjawab dalam keghairahan menonton kejohanan bola sepak Piala Dunia.
"Saya harap guru-guru tidak terbabit dengan perjudian bola sepak dan pastikan masa tidur mencukupi apabila sesi persekolahan bermula Ahad atau Isnin ini," katanya. – Bernama, 14 Jun, 2014.
sumber::sSs

No comments:

Post a Comment