Sunday, June 15, 2014

NUTP gesa LPM perjelas pelaksanaan PT3

  • Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP)
KUANTAN - Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) diminta mengatur pertemuan dengan semua guru yang berkenaan bagi menerangkan berhubung pelaksanaan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang akan bermula 1 Julai ini.
  
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng berkata, pertemuan itu perlu diadakan dalam tempoh terdekat sebelum peperiksaan itu dijalankan bagi memastikan semua pengetua dan guru memahami aspek pelaksanaannya.
  
"Guru yang dikenal pasti untuk pelaksanaan PT3 itu, perlu memahami proses pelaksanaannya untuk memastikan kelancaran perjalanannya.
  
"Dalam hal ini LPM perlu mengadakan sesi penerangan tersebut dengan segera kerana kita sudah tidak mempunyai banyak masa berikutan pelaksanaannya akan bermula 1 Julai ini," katanya.
   

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung TriTahunan NUTP Cawangan Pahang Kali Ke-20, di sini  yang turut dihadiri oleh Pengerusi NUTP Pahang, Kamarozaman Abd Razak.

Menurut Lok, selain itu ketua jabatan dan guru besar juga perlu diberi pemahaman yang lebih mendalam tentang perkara tersebut supaya mereka tahu mengatasi masalah yang mungkin timbul semasa pelaksanaanya nanti.
  
Dalam masa yang sama, beliau berkata guru terbabit dalam PT3 yang menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak perlu bimbang kerana LPM menyediakan set soalan untuk dipilih, bersesuaian tahap pencapaian sekolah berkenaan.
   
Beliau juga mengesa guru berpegang kepada integriti dengan memberikan markah kepada pelajar berdasarkan jawapan dan bukannya disebabkan ingin meluluskan pelajar berkenaan
  
Katanya mana-mana guru yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tata tertib mengikut peraturan Kelakuan dan Tata Tertib 1993 (pindaan 2002).
  
Semalam Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan peperiksaan PT3 bagi menggantikan PMR bermula 1 Julai ini dan ia akan dimulakan dengan Instrumen Kajian Kes berbentuk kerja kursus bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi bermula 1 hingga 18 Julai.
  
Ini akan diikuti ujian bertulis bagi 11 mata pelajaran lain pula pada 12 hingga 17 Oktober depan dan ujian lisan (mendengar dan bertutur) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris dalam tempoh 6 hingga 29 Ogos ini. 


No comments:

Post a Comment