Friday, July 18, 2014

MALAYSIA:::Sektor pembuatan terima RM41.7 bilion pelaburan hingga Mei 2014


KUALA LUMPUR: Prestasi pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan Malaysia dalam tempoh lima bulan tahun ini meningkat sekali ganda kepada RM41.7 bilion, berbanding RM20.8 bilion dalam tempoh sama tahun lalu. 

Sebanyak 96 daripada 349 projek yang diluluskan adalah pelaburan baharu bernilai RM25.2 bilion manakala bakinya terdiri daripada pelaburan semula, pengukuhan dan pengembangan aktiviti yang berjumlah RM16.5 bilion. 




Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata prestasi kukuh sektor itu, antara yang terpenting dalam ekonomi negara dalam tempoh itu, menghampiri angka pelaburan yang dicatat untuk seluruh tahun 2013 iaitu kira-kira RM52 bilion. 

"Justeru kementerian yakin sektor pembuatan tahun ini akan mengatasi pencapaian tahun lalu," katanya pada taklimat media mengumumkan prestasi lima bulan pertama sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan Malaysia di sini hari ini. 

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud. 

Mustapa berkata, Johor mencatat pelaburan tertinggi bernilai RM14.9 bilion dalam tempoh lima bulan tahun ini diterajui oleh projek pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) milik PETRONAS di Pengerang, Johor. 

“Ini diikuti oleh Sarawak yang menerima pelaburan bernilai RM7.8 bilion, Pahang (RM4.3 bilion), Kedah (RM4.3 bilion) serta Selangor (RM3.7 bilion),” katanya. 
Sementara itu, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, pelaburan asing projek pembuatan yang diluluskan berjumlah RM25.2 bilion merangkumi 60.3 peratus daripada pelaburan keseluruhan sektor berkenaan dalam tempoh terbabit. 

“Sumber utama pelaburan asing sepanjang tempoh itu ialah Jepun, China, Jerman, Singapura dan Afrika Selatan. Kelima-lima negara ini secara terkumpul merangkumi 84.9 peratus pelaburan asing yang diluluskan,” katanya. 

Mengikut Mustapa, projek pembuatan yang diluluskan dalam lima bulan pertama tahun ini dijangka mewujudkan kira-kira 39,600 pekerjaan, dengan 85 peratus daripadanya terdiri daripada pekerjaan berkemahiran tinggi. 

Ada lapan projek yang bernilai melebihi RM1 bilion antaranya pelaburan PETRONAS dan Itochu Japan di RAPID, Alliance Steel di Taman Industri Malaysia-China Kuantan, Ibiden Electronics di Pulau Pinang serta Sakura Ferroalloys di Sarawak. 


sumber:::http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment