Saturday, September 20, 2014

MALAYSIA:::Kesatuan pekerja tidak diajak berunding dalam penggabungan bank Malaysia

Setiausaha Agung Nube J Solomon berkata Kementerian Kewangan membuat semua keputusan secara unilateral dalam cadangan penggabungan mega RHB Capital, CIMB Group Holdings Berhad dan Malaysia Building Society Berhad (MBSB). – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 September, 2014.
Setiausaha Agung Nube J Solomon berkata Kementerian Kewangan membuat semua keputusan secara unilateral dalam cadangan penggabungan mega RHB Capital, CIMB Group Holdings Berhad dan Malaysia Building Society Berhad (MBSB). 
 Kesatuan pekerja bank di Malaysia mengkritik Putrajaya kerana gagal berunding dengan mereka berhubung kemungkinan tiga institusi kewangan bergabung atau memastikan dana persaraan mereka dibelanjakan dengan baik semasa proses berkenaan.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) J Solomon berkata, Kementerian Kewangan dilihat membuat semua keputusan secara unilateral dalam cadangan penggabungan mega RHB Capital, CIMB Group Holdings Berhad dan Malaysia Building Society Berhad (MBSB).
"Ia sangat mengecewakan apabila Kementerian Kewangan tidak mengambil inisiatif untuk berunding dengan pihak-pihak berkepentingan, termasuk Nube, meminta pandangan atau pendapat mengenai penggabungan itu," kata J Solomon.
Cadangan penggabungan mega ini menjadi tajuk utama di ruangan akhbar berita perniagaan  memandangkan penggabungan itu akan menjadikan ia pemberi pinjaman terbesar di Malaysia, mengatasi Maybank Berhad. CIMB Group merupakan bank kedua terbesar di Malaysia sekarang.
Solomon berkata pekerja institusi kewangan ini bukan cuba mengajar pihak pengurusan bagaimana menjalankan perniagaan, tetapi pandangan mereka harus diambil kira.
Beliau mengingatkan Putrajaya mereka terlibat dalam mesyuarat tiga pihak dengan bank-bank dan pekerja pada awal tahun 2000, di mana "semua pihak bersetuju akan ada perundingan dengan para pekerja sebelum apa-apa cadangan penggabungan entiti kewangan diluluskan".
Solomon juga berkata, penglibatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam penggabungan itu turut menimbulkan tanda tanya dan spekulasi.
"Tiada ketelusan berkenaan bagaimana dana pekerja dibelanjakan dan ini boleh membawa kepada banyak spekulasi yang tidak perlu, yang boleh menjejaskan semangat."
Beliau merujuk kepada kontroversi hak mengundi KWSP dalam penggabungan tiga-hala berikutan kebocoran surat tidak ditandatangani pada 4 September, kononnya daripada ahli-ahli lembaga RHB yang tidak berpuas hati.
Surat itu mengandungi bantahan bagi membenarkan KWSP mengundi pada resolusi untuk meluluskan cadangan penggabungan.
Surat itu juga berkata KWSP sebagai pemegang saham utama dan pihak berkaitan dengan RHB Capital, hendaklah mengecualikan diri daripada mengundi mengenai penggabungan itu kerana transaksi melibatkan kepentingan KWSP memandangkan pegangan saham yang besar dalam CIMB.
"Nube mengambil berat bukan sahaja dalam konteks wakil pekerja tidak dibawa berunding berhubung penggabungan itu, tetapi juga bagaimana dana mereka dilaburkan," kata Solomon.
Beliau juga melahirkan kebimbangan bagi pelanggan kerana bank akan mengenakan bayaran untuk perkhidmatan yang sebelum ini percuma.
"Pekerja bank juga adalah pelanggan bank dan mereka berhadapan dengan bayaran tambahan, seperti pelanggan biasa."
Sulaiman memberi amaran Bank Negara terpaksa mengawal selia bank-bank dan institusi kewangan untuk memastikan mereka mesra pelanggan.
"Jika tidak, kita akan menyaksikan kemungkinan senario di mana bank-bank akhirnya hanya melayan mereka yang kaya dan berpengaruh," katanya.
"Golongan miskin sama ada akan merenung bank-bank di mana perkhidmatan mereka di luar gapaian atau wang golongan miskin digunakan untuk membiayai yang kaya."
Solomon berkata semasa tahun 1990-an, terdapat institusi kewangan dan bank-bank beroperasi di Malaysia, tetapi krisis kewangan Asia 1997 membawa perubahan.
"Putrajaya memberi alasan bank-bank diperlukan untuk bergabung bagi menjadi lebih kukuh, yang juga akan memberi manfaat kepada rakyat," kata Solomon.
"Bagaimanapun penggabungan itu akan disertai yuran tambahan dan caj," katanya.
Sebagai contoh, jika pelanggan membuat lebih daripada empat pengeluaran daripada ATM dalam sebulan, caj dikenakan ke atas pengeluaran seterusnya dalam bulan itu.
"Bank juga memperkenalkan bayaran bagi urusan transaksi wang tunai di kaunter yang tidak melebihi RM10,000," kata Sulaiman.
"Apa gunanya bank-bank menjadi kukuh secara global sedangkan rakyat di negara ini menderita?" soalnya. – 20 September, 2014.

No comments:

Post a Comment