Monday, September 29, 2014

MALAYSIA:::Silap kementerian punca 2.9 juta pekerja asing tiada dokumen, kata MTUC

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N Gopal Krishnan ketika ditemubual bersama The Malaysian Insider, baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Raiezal, 28 September, 2014.Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N Gopal Krishnan ketika ditemubual bersama The Malaysian Insider, baru-baru ini. 















Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyalahkan kekurangan penyelarasan antara Kementerian Dalam Negeri dan Sumber Manusia menyebabkan sebilangan besar pekerja asing tanpa izin berada di negara ini.
Setiausaha Agungnya N Gopal Kishnan berkata keadaan itu sebagai "tangan kanan tidak tahu apa yang tangan kiri lakukan".
 "MTUC dan kesatuan lain berkali-kali menimbulkan perkara ini kepada pihak berkuasa tetapi ia jatuh pada telinga yang pekak,"

Gopal berkata demikian sebagai respons ekoran pendedahan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem baru-baru ini iaitu daripada 5.8 juta pekerja asing di Malaysia, hanya 2.9 juta didokumenkan.
Sambil menyifatkan lambakan pekerja asing sebagai membimbangkan, Riot berkata pekerja Malaysia perlu mengubah sikap mereka dengan tidak memilih pekerjaan atau hanya mahu bekerja dalam sektor awam.
Beliau berkata,rakyat Malaysia perlu merebut peluang-peluang pekerjaan yang disediakan 600,000 industri kecil dan sederhana (IKS) yang kini diisi orang asing.
Dipercayai sekurang-kurangnya 35% daripada tenaga kerja dalam IKS bergantung kepada warga asing, terutama dari Nepal dan Bangladesh.
Gopal berkata, alasan Kementerian Sumber Manusia adalah kelulusan untuk membawa masuk warga asing terletak pada Kementerian Dalam Negeri dan ia tidak mempunyai kawalan ke atas bilangan yang diperlukan di negara ini.
"Mereka (Kementerian Sumber Manusia) tidak mempunyai nisbah penduduk tempatan dan asing bekerja dalam sektor pembuatan," katanya.
Gopal berkata, siasatan yang dijalankan MTUC mendedahkan hampir semua pekerja asing memasuki negara ini secara sah tetapi menjadi pekerja tanpa izin kerana dieksploitasi majikan mereka.
"Apa yang dijanjikan di negara asal tidak dihormati apabila mereka tiba di sini. Ada yang dibayar rendah," katanya.
Malah gaji sekurang-kurangnya RM900 sebulan kepada para pekerja di Semenanjung itu tidak diberikan kepada kebanyakan warga asing walaupun polisi itu berkuatkuasa pada Januari tahun lepas.
Gopal mendakwa majikan menggunakan taktik curang seperti menggunakan samseng untuk mengugut pekerja mereka untuk menundukkan mereka atau mengeluarkan dari asrama mereka.
"Ada yang sengaja tidak membayar gaji mereka selama tiga bulan. Pekerja-pekerja ini meminjam wang daripada ah long di daerah mereka atau memajak harta dan ternakan mereka untuk mencari pekerjaan di sini," katanya.
Gopal berkata warga asing yang terdesak kemudian akan mencari pekerjaan di tempat lain untuk menghantar wang ke rumah mereka dan menyelesaikan hutang.
"Mereka perlu kekal di negara ini sekurang-kurangnya dua tahun, kadang-kadang bekerja sehingga 16 jam sehari tanpa hari rehat mingguan atau cuti tahunan berbayar. Ada juga yang membuat pekerjaan tambahan," katanya.
Gopal berkata, bagi kebanyakan pekerja, mereka dikompaun apabila majikan mereka memegang dokumen perjalanan mereka dan membuat laporan polis yang orang asing "hilang".
Beliau berkata, terdapat undang-undang yang mencukupi untuk bertindak terhadap majikan yang tidak bertanggungjawab tetapi masalahnya ialah kekurangan penguatkuasaan.
Gopal memberi contoh pekerja asing yang direkrut untuk bekerja di restoran, terutamanya rangkaian kedai 24 jam.
"Kami mempunyai warga asing yang meminta bantuan kita apabila gaji mereka tidak dibayar dan permit kerja tidak diperbaharui walaupun levi ditolak daripada gaji mereka," katanya.
Beliau berkata, Jabatan Tenaga Kerja akhirnya berjaya membantu pekerja mendapatkan semua gaji mereka tetapi menghairankan, tiada tindakan diambil terhadap majikan.
"Kami meminta jabatan untuk mengambil tindakan sebagai amaran kepada orang lain tetapi malangnya tidak ada tindakan susulan," katanya.
Beliau berkata, penduduk tempatan tidak boleh dilabelkan sebagai malas dan memilih pekerjaan kerana mereka menyesuaikan diri dengan baik di kedai makanan segera.
"Upah di tempat-tempat begini munasabah dan waktu kerja pula fleksibel," katanya.
Beliau berkata, ramai rakyat Malaysia bekerja di Singapura dan luar negara dan mereka dipuji kerana produktiviti, kesungguhan dan semangat.
MTUC adalah badan induk bagi kesatuan dalam sektor awam dan swasta dan badan-badan berkanun dan hampir 175 kesatuan seluruh negara yang bergabung dengannya. 
sumber:::http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment