Thursday, October 2, 2014

MALAYSIA:::Tak endah keselamatan, kesihatan tempat kerja


  • Mohd Khalid AtanMohd Khalid Atan
SHAH ALAM - Tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang masih rendah merupakan faktor utama menyumbang kepada peningkatan kemalangan di tempat kerja.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Mohd Khalid Atan berkata, berdasarkan aduan diterima daripada pekerja tempatan dan asing menunjukkan segelintir majikan tidak menitikberatkan dua aspek terbabit.

"Kalau lihat secara menyeluruh, kedua-dua aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja masih belum mencapai tahap membanggakan.



"Setiap aduan pekerja berkaitan antaranya aspek keselamatan diri, penggunaan mesin atau bahan kimia di tempat kerja tidak diambil serius majikan, malah mereka bersikap sambil lewa," katanya, semalam.

Menurutnya, lebih menyedihkan, pekerja pula terpaksa bekerja dalam keadaan yang tidak selamat kerana bimbang diambil tindakan atau diberhentikan kerja.

"Sepatutnya setiap aduan perlu diambil tindakan segera oleh majikan bagi mengelakkan pekerja terdedah kepada bahaya. Kita tak boleh berkompromi dalam isu keselamatan dan kesihatan pekerja," katanya.

Mohd Khalid berkata, mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, tanggungjawab keselamatan dan kesihatan adalah tanggungjawab bersama tidak kira pembuat kilang, pekerja, majikan atau pereka jentera.

Katanya, akta itu merangkumi tanggungjawab menyeluruh dan semua pihak perlu mainkan peranan supaya kemalangan di tempat kerja dapat dikurangkan.

"Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) tidak boleh hanya jalankan siasatan tetapi perlu menambah kakitangan serta buat pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali di semua kilang bagi pastikan keadaan tempat kerja dan pekerja selamat.

"Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia juga perlu mengadakan lawatan ke tempat kerja untuk melihat keadaan persekitaran tempat kerja selamat atau tidak, memberi nasihat kepada majikan dan pekerja berkaitan aspek keselamatan," katanya.

Semalam, akhbar melaporkan, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, bagi 2014, sebanyak 20,859 kes kemalangan tempat kerja dilaporkan berlaku sehingga Jun tahun ini dan bilangan itu dijangka meningkat.

Katanya, 282 kes daripada jumlah itu membabitkan kemalangan maut dan tiga sektor iaitu pembuatan, perkhidmatan serta perdagangan borong dan runcit dikenal pasti penyumbang utama kes kemalangan di tempat kerja tahun ini.


sumber:::http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment