Monday, November 10, 2014

MALAYSIA:::Imigresen Tahan 181 PATI Di Cameron Highlands


CAMERON HIGHLANDS, 9 Nov (Bernama) — Seramai 181 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan dalam ‘Ops Gempak dan Mesra’ di tujuh lokasi berasingan sekitar Cameron Highlands, Ahad.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Bahagian Kawalan, Datuk Sakib Kusmi berkata tujuh lokasi itu ialah di Ringlet, Lembah Bertam, Tanah Rata, Brinchang, Kampung Raja, Tringkap dan Kuala Terla.
Beliau berkata operasi itu adalah yang pertama dijalankan untuk menahan dan menangkap PATI di sekitar daerah berkenaan berikutan jumlahnya yang semakin meningkat dan membimbangkan.
“Dalam operasi itu, seramai 581 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, hanya 181 ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Vietnam, Sri Lanka, Thailand, Indonesia, India, Myanmar, Nepal dan Bangladesh,” kata Sakib kepada pemberita di Tanah Rata.
Beliau berkata dalam operasi
kali ini, pihaknya memberi tumpuan menahan PATI yang berniaga di tepi jalan, premis makanan dan bebeerapa tempat lain.
“Pada masa ini, imigresen tidak menangkap PATI yang bekerja di kawasan perladangan dan pertanian kerana masih lagi dalam pemantauan,” katanya.
Beliau berkata PATI yang ditahan itu akan dibawa ke Terengganu dan ditempatkan di depot yang ditetapkan untuk siasatan lanjut.
Pada masa sama, Sakib berkata pihaknya tidak dapat mengesan majikan yang menggaji pekerja mereka secara haram.
“Sehubungan itu, imigresen telah mengambil maklumat pendaftaran syarikat majikan dan kita akan buat tindakan susulan dengan majikan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, katanya statistik pekerja warga asing, yang memiliki dokumen sah, di pusat peranginan itu sehingga bulan lepas adalah seramai 11,016 orang.
Menurutnya, mereka bekerja dalam sektor seperti pertaninan, perkhidmatan, perladangan, pembinaan dan pembuatan.
Operasi yang dijalankan bermula 12 tengah hari Ahad di tujuh daerah itu, melibatkan seramai 369 pegawai dan anggota imigresen.
–BERNAMA

No comments:

Post a Comment