Tuesday, November 11, 2014

MALAYSIA:::Pekerja Asing Dikhuatiri Kuasai Ekonomi Jika Dapat Peluang - Richard Riot


PUTRAJAYA, 11 Nov (Bernama) -- Jangan pandang ringan kebanjiran pekerja asing di negara ini kerana mereka mungkin boleh menguasai ekonomi jika terus mendapat peluang, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Kebanjiran pekerja asing di negara ini harus dipandang serius dan ia membimbangkan apabila dianggarkan terdapat 6.7 juta golongan itu dan daripada jumlah itu, hanya 2.1 juta sahaja mempunyai permit yang sah, katanya.


Jumlah sebenar pekerja asing yang berada di negara ini mungkin lebih ramai dengan anggaran dibuat mengikut nisbah seorang pekerja yang mempunyai permit membawa sekurang-kurangnya seorang pekerja yang tiada permit, katanya.

"Ketika ini mungkin mereka menguasai bidang separuh mahir contohnya dalam bidang pertanian, buruh dan sebagainya, namun siapa sangka suatu hari nanti golongan ini akan menguasai bidang profesional pula," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILTJM) di sini hari ini, Riot berkata warga tempatan seharusnya tidak terlalu memilih pekerjaan.

"Para majikan juga perlulah bersikap adil dengan menawarkan gaji yang sesuai kepada pekerja tempatan," katanya.

Terdahulu seramai 5,455 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing, daripada jumlah itu, 4,516 graduan dari ILJTM Semenanjung Malaysia dan selebihnya dari ILJTM Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

sumber:::BERNAMA

No comments:

Post a Comment