Tuesday, December 16, 2014

MALAYSIA:::Isu pekerja asing: Saranan wujud pasukan khas

PDRM
KUALA LUMPUR - Sebuah pasukan khas yang melibatkan semua agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu diwujudkan bagi menangani isu lambakan pekerja asing, kata seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial PDRM, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin berkata penubuhan pasukan itu ialah bagi membolehkan perkongsian maklumat yang lebih cekap dan sekali gus dapat memantapkan aktiviti penguatkuasaan.

"Buat masa ini kebanyakan agensi penguatkuasaan bergerak sendiri. Oleh itu perlu ditubuhkan pasukan khas seperti pasukan 'Homeland Security' yang diwujudkan di Amerika Syarikat selepas peristiwa 11 September," jelasnya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menjadi anggota panel 'Persidangan Dilema Negara: Isu dan Cabaran Pekerja Asing di Malaysia' anjuran Majlis Profesor Negara di sini hari ini.


Selain itu, usaha menerapkan sikap integriti kepada setiap pegawai dan anggota perlu ditingkatkan berikutan kemungkinan terdapat kelemahan di peringkat penguatkuasaan akibat sikap sesetengah pegawai dan anggota yang tidak amanah, katanya.

"Ini kerana pegawai dan anggota iaitu orang di bahagian belakang juga penting, kerana walau secanggih mana sistem pemantauan di setiap pintu masuk negara, tetapi sekiranya pihak penguat kuasa tidak amanah, maka sistemnya tidak akan berhasil," kata Mohd Sofian.
Beliau turut mencadangkan agar kawalan diperketatkan terhadap institusi pengajian tinggi (IPT) terutama IPT swasta yang mengambil pelajar asing, susulan berlaku peningkatan kes salah guna visa pelajar semasa mereka berada di dalam negara.
"Di negara maju misalnya, jika pelajar asing tidak datang ke kelas mereka selama tiga hari, maka pihak imigresen akan mencari mereka. Tetapi di sini, jika  pelajar tidak hadir kelas selama dua tahun pun, IPT tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa," katanya.

Bagi memudahkan aktiviti penguatkuasaan, Mohd Sofian juga mencadangkan supaya undang-undang baharu digubal bagi mewajibkan pihak swasta memasang kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan mereka.
"Undang-undang seperti ini telah diwujudkan di banyak negara. Kita tidak boleh mengharapkan kerajaan sahaja yang mengeluarkan dana untuk memasang CCTV," jelasnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment