Thursday, December 18, 2014

MALAYSIA:::KDN usul gaji pekerja Indonesia dikreditkan ke akaun bank

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengusulkan agar majikan mengkreditkan terus gaji pekerja warga Indonesia mereka ke dalam akaun bank bagi mengelakkan penipuan.
Usul itu antara perkara dibincangkan antara Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) semasa menerima kunjungan Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Hanif Dhakiri di KDN di Putrajaya hari ini.
Zahid berkata pihaknya  mengusulkan agar kerjasama antara bank republik itu dengan bank di Malaysia bagi memastikan peraturan baharu itu dapat dilaksanakan.

"Jika bayaran diberikan secara tunai, terdapat majikan yang menipu dengan tidak membayar gaji kepada pekerja, itu yang perlu diberi penekanan dan  dibincangkan dengan menteri sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar selepas kunjungan itu.
Zahid berkata pekerja warga Indonedia boleh membuka akaun bank menggunakan kad akaun diri pekerja asing atau dikenali i-Kad.
"Transaksi wang akan dilakukan secara dalam talian sekali gus memudahkan proses penghantaran kepada keluarga pekerja berkenaan di kampung," katanya.
Zahid berkata tujuan kedatangan Hanif ke negara ini juga adalah bagi melaksanakan arahan Presiden Indonesia Joko Widodo agar semua pekerja warga Indonesia yang berada di negara ini dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dihantar pulang.
"Kerajaan Indonesia tidak mahu mereka yang tiada dokumen tinggal di Malaysia dan jadi bebanan kepada kerajaan dan masyarakat tempatan," katanya, sambil menambah Hanif juga akan bertemu 1,428 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Indonesia yang kini berada di depoh tahanan sebelum dihantar pulang.
Zahid berkata pihaknya juga bersedia mengurangkan jumlah denda terhadap Pati yang ditangkap kepada RM300 serta bayaran RM100 untuk permit khas.
Beliau berkata statistik sehingga November 2014 mendapati tenaga kerja warga Indonesia yang sah di Malaysia berjumlah 826,226 iaitu 39.7% daripada jumlah keseluruhan pekerja asing di Malaysia. – Bernama, 18 Disember, 2014.
sumber:::http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment