Wednesday, December 31, 2014

MALAYSIA:::Mahkamah tolak saman fitnah Maybank

kes mahkamah
KUALA LUMPUR - Malayan Banking Berhad (Maybank) hari ini kalah dalam kes saman fitnah terhadap Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan setiausaha agungnya, J.Sandagran Solomon berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap syarikat itu yang disiarkan dalam laman web Nube.

Ketika menolak saman berkenaan, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng memutuskan kesatuan sekerja itu dan pegawainya memiliki imuniti daripada disaman mengikut Seksyen 22 Akta Kesatuan Sekerja 1959.

"Defendan memiliki imuniti daripada disaman mengikut Seksyen 22 akta berkenaan," kata beliau dalam penghakiman ringkas.



Mahkamah memerintahkan Maybank supaya membayar kos RM30,000 kepada kedua-dua defendan.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan daripada dua saksi dari bank berkenaan dan testimoni daripada Solomon.

Pada 24 November 2011, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Nube untuk membatalkan saman berkenaan.


Bagaimanapun, berikutan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 2012, bank berkenaan berjaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan saman itu kemudian didengar dalam perbicaraan penuh.

Maybank memfailkan saman pada 22 April 2011 dengan mendakwa Solomon, bertindak mewakili dirinya sendiri dan Nube, telah pada Februari atau Mac 2011, menerbitkan artikel mengandungi kenyataan berbaur fitnah terhadap syarikat itu dalam laman  web Nube.

Ia mendakwa kenyataan itu bermaksud bahawa plaintif (Maybank) telah menjalankan hal ehwalnya secara tidak amanah dengan mahu menggunakan dananya bagi manfaat pengurusan kanannya sahaja dengan meminggirkan pekerjanya.

Antara lain, plaintif mendakwa kenyataan itu menunjukkan plaintif (bank) mengendalikan hal ehwalnya dengan cara yang amat menindas dan bersifat mengeksploitasi.

Bank itu menegaskan syarikat itu menaggung kesan yang amat serius dalam urusan perniagaan, reputasi dan nama baik berikutan penerbitan kenyataan berkenaan.

Ia mamohon ganti rugi bagi libel, ganti rugi teruk dan injunksi untuk menghalang defendan daripada menyiarkan kenyataan berbaur fitnah yang serupa terhadap bank berkenaan.

Peguam B.Gajendran mewakili bank manakala peguam M.Pathmanathan pula bagi pihak defendan. - Bernama


sumber:::http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment