Wednesday, December 17, 2014

MALAYSIA:::Segera lakukan penama KWSP


LABIS – Sebanyak 70 peratus daripada 6 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negara ini gagal menamakan penama akaun dan bakal mengundang masalah semasa proses pengeluaran caruman apabila berlaku kematian.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, dia meminta setiap pencarum supaya menyegerakan urusan penamaan bagi memudahkan keluarga mereka melaksanakan urusan pengeluaran caruman jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada mereka.

“Setiap tahun jumlah pencarum KWSP semakin meningkat tetapi peratusan pencarum yang tidak melakukan penamaan waris pada akaun mereka begitu rendah meskipun kerajaan sudah melakukan pelbagai promosi untuk tujuan tersebut.

“Kadang-kadang mereka (pencarum) tidak fikir apa akan berlaku kepada diri mereka kerana kemalangan adalah suatu perkara yang tidak diduga,” katanya.



Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Keluarga 1Malaysia anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Labis di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas, di sini.

Menurutnya, KWSP juga akan mempergiatkan usaha untuk menyedarkan pencarum kerana dengan melakukan penamaan, ahli keluarga pencarum yang berumur 55 tahun ke bawah layak menerima faedah kematian berjumlah RM2,500 apabila pencarum meninggal dunia.

“KWSP masih belum mewajibkan penamaan, tetapi untuk kebaikan, kemungkinan KWSP akan menolak borang permohonan caruman pemohon yang tiada penama pada masa akan datang.

“Proses penamaan waris juga sangat mudah dan mereka boleh menamakan penama masing-masing melalui borang penamaan yang terdapat di semua 60 kaunter KWSP di seluruh negara tanpa mengambil masa lama,” katanya.

Berhubung perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pekebun, nelayan, penternak dan petani kecil yang mempunyai pendapatan tahunan di bawah RM500,000 boleh memohon skim kadar rata bagi melayakkan mereka mengenakan caj tambahan sebanyak dua peratus ke atas pemborong apabila mula dilaksanakan.

Katanya, kejayaan permohonan itu akan membenarkan pekebun kecil termasuk penanam buah-buahan mengenakan caj tambahan dua peratus ke atas harga jualan ketika mereka menjual hasil khususnya kepada pemborong yang berdaftar di bawah GST.

“Pengenalan skim kadar rata bertujuan meringankan beban pekebun kecil yang perlu beli baja dan racun serangga kerana kedua-dua barang tersebut adalah dikenakan GST dan mereka boleh memohon skim ini sepanjang tahun.

“Pengenalan skim kadar rata ini juga tidak akan meningkatkan harga jualan produk pertanian di pasaran memandangkan pemborong yang bayar caj tambahan dua peratus kepada pekebun kecil dapat menuntut bayaran balik daripada kerajaan,” katanya.


sumber:::http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment