Friday, December 12, 2014

MALAYSIA:::Syarikat boleh didakwa jika pekerja amal rasuah

Paul Low Seng Kuan

KUALA LUMPUR - Pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dengan memasukkan peruntukan liabiliti korporat dijangka dibentangkan di Parlimen, Mac tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, pindaan tersebut bagi memastikan syarikat korporat bertanggungjawab terhadap perbuatan rasuah dilakukan pekerjanya.

“Usaha membanteras rasuah perlu melibatkan pemberi dan penerima. Kita anggap kebanyakan pemberi adalah dari sektor korporat.


“Namun, ketika ini, jika pekerja dari sebuah syarikat memberi rasuah dia akan didakwa secara individu. Sekiranya pindaan ini dikuatkuasakan kelak, syarikat juga boleh didakwa jika pekerja mereka memberi rasuah melainkan mereka dapat membuktikan telah mengambil langkah secukupnya untuk menghalang perbuatan itu,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Menurut beliau, pindaan akta itu juga sebagai satu gesaan agar syarikat korporat lebih memandang serius mengenai perbuatan rasuah.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha untuk membanteras rasuah tidak hanya tertumpu kepada pelaksanaan undang-undang, tetapi juga perlu mengambil kira pengukuhan institusi termasuk SPRM.

“Di SPRM, terdapat dua perkara yang kita mahu diperkukuhkan. Pertama, kita mahu memastikan tempoh jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM lebih terjamin.

“Kedua ialah SPRM perlu dijadikan sebagai sebuah suruhanjaya perkhidmatan. Jadi, SPRM memiliki kuasa untuk melantik atau memecat pekerjanya sendiri dan mereka bukan sebahagian daripada penjawat awam,” katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, usaha tersebut hanya boleh dilaksanakan melalui pindaan Perlembagaan yang mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

“Kabinet juga sudah bersetuju  cadangan tetapi dengan syarat perlu mendapat sokongan Parlimen. SPRM akan terus berkempen agar cadangan ini dapat direalisasi demi kebaikan negara,” katanya.


sumber:::http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment