Thursday, January 15, 2015

MALAYSIA:::MTUC: PEKERJA SARAWAK DIBULI, EKSPLOITASI

Kurang daripada 10 peratus pekerja CMS dapat membuang undi dan memburuk lagi keadaan, presiden kesatuan telah dibuang kerja.


KUCHING: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak mendakwa berlaku diskriminasi dalam sistem pengurusan CMS Cement Sdn. Bhd. apabila setiausaha dan presiden Kesatuan Pekerja-pekerja CMS Cement Sdn. Bhd. diberhentikan selepas membuat aduan.
Setiausaha MTUC Sarawak, Andrew Lo berkata, anak syarikat kepada Cahaya Mata Sarawak Bhd itu juga telah memindah dua ahli exco kesatuan atas alasan kesatuan telah menghantar tuntutan penghargaan kepada pihak pengurusan untuk tujuan tawar-menawar kolektif.

“Kesatuan telah mengikut semua undang-undang dan prosedur dalam membuat tuntutan dan telah merujuk perkara itu kepada jabatan perhubungan industri untuk membuat undi bagi menentukan sama ada hasrat pekerja diwakili oleh kesatuan.
Andrew yang mendakwa bahawa CMS Cement Sdn. Bhd. anak syarikat dimiliki keluarga bekas Ketua Menteri yang juga Yang Dipertua Negeri Sarawak menyifatkan, kesatuan kesal dengan ketidakadilan yang berlaku dalam pengurusan syarikat berkenaan.“Kesatuan mendekati isu ini dengan cara yang tenang meskipun ancaman dan gambaran salah daripada syarikat,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, sebagai sebuah syarikat profesional moden, syarikat harus membiarkan jabatan membuat undian dan membenarkan para pekerja membuat pilihan tanpa ugutan dan paksaan.
“Kesatuan dan pihak pihak pengurusan syarikat harus menghormati apa jua pilihan yang dibuat oleh pekerja. Tetapi, eksekutif kanan syarikat yang bukan rakyat Sarawak hadir di tempat undi untuk menundukkan pandangan pekerja dengan tujuan jelas mengugut mereka membuat undi.
“Keputusannya, kurang daripada 10 peratus pekerja dapat membuang undi dan memburuk lagi keadaan, presiden kesatuan telah dibuang kerja kerana perkhidmatannya tidak lagi diperlukan,” ujarnya.
Kesatuan Pekerja-pekerja CMS Cement Sdn. Bhd. adalah kesatuan yang berdaftar sepenuhnya dan terdiri daripada pegawai yang terpilih.
“Ini sesuatu berita yang mengejutkan dalam abad ke-21, bahawa syarikat awam tersenarai yang mempunyai hasil pendapatan kontrak berjuta-juta sama ada daripada kerajaan persekutuan dan negeri membenarkan pekerjanya dibuli dan eksploitasi.
“Kita tidak dapat memahami kenapa syarikat ini sangat anti dengan kesatuan? Apa yang mereka sembunyikan? Terdapat ratusan syarikat bersama kesatuan yang menguntungkan dan mampan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment