
MUAR 3 Feb. – Baru sahaja reda isu pekerja Islam di sebuah pasar raya di bandar ini dilarang menunaikan solat semasa waktu bekerja dan rehat, satu lagi kes yang sama didedahkan berlaku di sebuah pasar raya di pekan Parit Bakar dekat sini.
Namun kali ini pekerja terbabit diperlakukan secara biadab apabila dihamburkan dengan kata-kata kesat dan ditarik ketika menunaikan solat di bilik rehat ke pejabat.
Menurut sumber, pasar raya berkenaan melarang pekerja beragama Islam menunaikan solat dan diberikan amaran keras jika didapati berbuat demikian
“Ada pekerja mengetahui tidak dibenarkan solat selepas diberitahu rakan lain yang juga merupakan pekerja pasar raya berkenaan tetapi disebabkan perlu menunaikan tuntutan ibadah itu, mereka tetap melakukannya.
“Keadaan lebih menyukarkan mereka apabila bilik rehat yang sebelum ini menjadi tempat solat dikunci selepas waktu rehat antara pukul 4.30 petang hingga 5.30 petang tamat,“ katanya ketika di temui di sini hari ini.
Pada 19 Januari lalu, seorang pembantu jualan wanita sebuah pasar raya mendakwa seorang penyelia tidak membenarkannya menunaikan solat malah mengugut untuk memotong gaji jika enggan mematuhi perintah tersebut.
Berikutan itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Cawangan Muar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar sebelum berpiket di hadapan pasar raya berkenaan bagi membantah tindakan tersebut.
Sumber berkata, selepas larangan tersebut dikeluarkan, terdapat pekerja Islam yang menunaikan solat secara sembunyi di stor yang ruangnya terlalu kecil tetapi dapat dikesan pihak pengurusan kerana pihak pengurusan memasang 'mata-mata'.
“Sejak dikesan bersolat di stor, pekerja terbabit sering menjadi sasaran beberapa pekerja pasar raya berkenaan yang tidak berpuas hati dengannya walaupun kesalahan dilakukan adalah kecil,“ katanya.
Sementara itu, wakil pasar raya berkenaan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak atasannya.
Dalam pada itu, Kadi Daerah Muar, Dzulkafli Mohamed berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dan majikan perlu prihatin dan faham dengan keperluan pekerja untuk menunaikan solat.
Bagaimanapun katanya, pejabat kadi tidak mempunyai kuasa mengarahkan pasar raya berkenaan menyediakan bilik solat di premis tersebut.
sumber:::http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment