Monday, February 2, 2015

MALAYSIA:::Presiden kesatuan KTMB rela menganggur, enggan mohon maaf setiap hari di Facebook

Presiden kesatuan pekerja KTMB, Abdul Razak Md Hassan berkata walaupun beliau menasihati pekerja menerima syarat KTMB, dia sendiri tidak akan mengalah dan akan mencabar syarikat itu di bawah Akta Perhubungan Perusahaan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Februari, 2015.
Presiden kesatuan pekerja KTMB, Abdul Razak Md Hassan berkata walaupun beliau menasihati pekerja menerima syarat KTMB, dia sendiri tidak akan mengalah dan akan mencabar syarikat itu di bawah Akta Perhubungan Perusahaan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Februari, 2015.

Diminta memohon maaf kepada Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) setiap hari di Facebook dan di blog selama tiga bulan akan datang jika beliau mahu mendapatkan semula kerjanya, presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) menyifatkan syarat itu umpama dikenakan tebusan dan enggan mengalah.

Abdul Razak Md Hassan, yang kini tidak bekerja tetapi masih menjadi presiden RUM sementara menunggu tindakan mahkamah perusahaan berkata, tuntutan KTMB itu bukan sahaja menghinanya bahkan juga kesatuan.
"KTMB mahu saya, dalam kapasiti saya sebagai presiden kesatuan, menyatakan permohonan maaf setiap hari selama tiga bulan melalui Facebook dan laman blog Suara RUM," kata Razak kepada The Malaysian Insider.
"Permintaan ini benar-benar tidak boleh diterima kerana ia bukan sahaja menghina dan merendahkan martabat, tetapi ia bermakna RUM akan kehilangan kredibilitinya sebagai kesatuan sekerja."
Razak ditawarkan semula jawatannya di KTMB dengan beberapa syarat, termasuk mengirim permohonan maaf di Facebook dan blog beliau, ekoran pemecatan beliau kerana berpiket pada 9 Mei tahun lepas menentang Presiden KTMB, Datuk Elias Kadir.
RUM mahu Elias meletak jawatan kerana prestasi lemah penggendali kereta api itu.
Kekecohan bermula September lalu apabila KTMB memecat Razak dan Timbalan Presiden RUM, R. Subramaniam, dan mengambil tindakan terhadap 110 ahli kesatuan yang menyertai piket.
Kira-kira 700 ahli RUM mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan dan 110 yang dikenal pasti KTMB diberikan surat tunjuk sebab.
Razak dan Subramaniam pada masa itu menggambarkan pemecatan mereka sebagai penghinaan terhadap keadilan dan berikrar mengambil tindakan terhadap KTMB.
Sejak itu, semua pekerja dikembalikan semula pekerjaan mereka oleh KTMB dengan terma dan syarat yang mereka tidak lagi mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti, kesatuan atau sebaliknya, yang dianggap memudaratkan KTMB, kata Razak kepada The Malaysian Insider.
Ini termasuk tidak lagi menyertai sebarang piket atau protes terhadap pengurusan KTMB, yang Razak sifatkan suatu perintah melucukan.
"Saya menasihatkan semua ahli RUM menerima arahan KTMB walaupun ia sukar untuk diterima, kerana ahli-ahli kami mempunyai keluarga untuk disara."
Bagaimanapun, Razak sendiri tidak menerima syarat KTMB, mengatakan beliau dan kesatuan tidak mahu terhutang budi kepada KTMB, pengendali rangkaian kereta api utama di Malaysia.
"Kami memfailkan aduan di bawah Seksyen 4 dan 5 Akta 177, Akta Perhubungan Perusahaan 1967," kata Razak.
Kes itu akan didengar Jabatan Perhubungan Perusahaan pada 5 Februari.
Razak enggan berundur daripada kritikannya terhadap Elias, yang didakwanya menyebabkan KTMB merudum.
"Kedudukan kewangan semasa KTMB membuktikan segala-galanya," kata Razak.
Beliau berkata audit yang dijalankan pada 2011 menunjukkan syarikat itu mengalami kerugian sebanyak RM100 juta, menjadi hampir tiga kali ganda kepada RM280 juta pada 2012.
Kerugian itu menjadikan KTMB sasaran beberapa syarikat yang berminat menswastakannya, termasuk MMC dan Gamuda Bhd.
Awal tahun lepas, MMC berminat membentuk usaha sama dengan Gamuda mengambil alih KTMB dalam urus niaga bernilai lebih daripada RM5 bilion, tetapi perjanjian itu tidak menjadi kenyataan.
MMC kemudian mengemukakan cadangan untuk menswastakan operasi kargo KTMB dan anggaran awal sebanyak RM2 bilion. – 2 Februari, 2015.
sumber:::http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment