Semasa pembentangan Belanjawan Kerajaan 2014 pada
25 Oktober 2013, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan rancangan kerajaan
untuk melaksanakan Goods and Services Tax (GST) dan penghapusan Sales
and Services Tax (SST) yang akan berkuatkuasa pada 1 April 2015. Kerajaan
menyatakan bahawa langkah tersebut adalah perlu kerana keadaan kewangan
kerajaan adalah tenat maka dengan perlaksanaan GST akan
membantu kerajaan untuk meningkatkan pendapatan cukainya dalam jangka panjang.
Mengikut
undang-undang, GST dikenakan ke atas setiap urusniaga kecuali urusniaga itu
diberi pengecualian dari skop GST. Semua perkhidmatan atau barangan yang tidak
diumumkan sebagai “dikecualikan” akan dikenakan GST. Walupun GST akan dikenakan
pada setiap peringkat urusniaga, namun pada akhirnya pengguna membayar sekali sahaja
kerana GST mempunyai mekanisma ‘Input tax credit’ dimana cukai yang
dibayar oleh sesebuah firma dalam proses pembuatan dan pengagihan boleh
dituntut balik. Cuma pengguna akhir sahaja yang tidak dapat
meminta balik cukai yang dibayar. Di samping itu, hanya firma yang
menjual barang atau perkhidmatan melebihi RM500,000 setahun diwajibkan mendaftar
untuk mengenakan GST.
Walaupun
kadar cukai adalah lebih rendah dan banyak barangan dan keperluan asas adalah
dikecualikan dari cukai, namun skop GST adalah lebih besar kerana
melibatkan banyak aktiviti urusniaga. Sebagai contoh kos menghasilkan alat
keluaran seperti mesin, bahan pembungkusan, elektrik dan lain-lain semuanya
akan dikenakan GST. Akibatnya pengilang terpaksa menaikkan harga untuk
menampung kenaikan kos akibat GST ini walaupun ianya melibatkan pengeluaran barangan
asas.
Di
bawah sistem GST 90% dari barangan dan perkhidmatan harian dikenakan cukai,
walaupun pada kadar yang lebih rendah. Jadi, bebanan rakyat seharian menjadi
semakin tinggi kerana semakin banyak barangan dan perkhidmatan
yang perlu dibayar cukai.
Di
samping itu apabila GST dilaksanakan, 89% dari keluarga di Malaysia yang
sebelum ini dikira tidak perlu membayar cukai kerana pendapatannya rendah, perlu membayar
cukai GST secara tidak langsung. Malah, mereka juga tidak menikmati
faedah dari penurunan cukai pendapatan kerana pendapatan mereka rendah.
Sebahagian besar rakyat Malaysia tergolong dalam kumpulan ini yang terpaksa
menanggung cukai baru tetapi tidak pula mendapat faedah dari penurunan cukai
sedia ada.
MTUC
merasakan perlaksanaan GST akan memberi kesan yang signifikan terhadap kaum
pekerja yang menerima pendapatan kurang dari RM3000 sebulan, sedangkan kos
perbelanjaan harian isi rumah tetap meningkat setiap hari dengan kenaikan harga
petrol. YAB Dato Seri dalam ucapan telah menyatakan pengurangan harga petrol
dilakukan bagi mengurangkan beban hidup rakyat malah dengan secara tiba-tiba
harga petrol dinaikkan kembali kepada 20 sen pada bulan Februari 2015 yang
sudah pun membebankan rakyat. Kini perlaksanaan GST bukankah akan memudaratkan
lagi keadaan dan boleh menjurus kepada tekanan yang besar.
Kadar inflasi akan meningkat,
GST sudah tentukan akan meningkatkan kadar inflasi yang sememangnya tinggi. Penguatkuasaan Cukai GST akan
membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang
akan meningkatkan perbelanjaan harian rakyat Malaysia.
Walaupun banyak barangan makanan dikecualikan daripada cukai pada takat dibeli oleh
pengguna, harga makanan akan naik kerana bahan-bahan yang digunakan untuk mengeluarkan
makanan turut akan naik harga akibat dari GST. Cukai GST bukan sahaja mengurangkan kuasa beli
rakyat malah kos bagi menampung keperluan harian iaitu makanan, pengangkutan, penginapan,
pakaian, perubatan dan lain-lain akan meningkat. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ini akan ditanggung oleh semua lapisan masyarakat tanpa
mengira kaya ataupun miskin.
Di
samping itu kesan buruk yang ditimpa oleh isi rumah di pantai timur
Semenanjung, Sabah dan Sarawak akibat banjir masih belum pulih sepenuhnya.
Perlaksanaan GST secara mendadak pada
April 2015 ini akan memberi kesan yang lebih buruk kepada isi rumah ini dan
boleh merudumkan pembangunan ekonomi negara. Malah boleh mencetuskan perasaan
tertekan yang amat sangat.
Penganalisaan dan penyelidikan yang dilakukan oleh
pihak IKRAM jelas menunjukkan bahawa Pelaksanaan cukai SST atau GST sebenarnya
tidak akan mampu menyelesaikan masalah kewangan kerajaan serta masalah
kenaikan harga barangan. Ini kerana punca kepada masalah adalah kombinasi
banyak faktor termasuk sistem Riba yang diamalkan di negara kita serta perbelanjaan
kerajaan yang tidak terkawal akibat amalan pembaziran dalam perbelanjaan
kerajaan dan amalan korupsi yang berleluasa.
Oleh kerana itu kerajaan sepatutnya memberi fokus
kepada usaha mengawal perbelanjaannya dengan menghapuskan amalan pembaziran dan
amalan korupsi. Disamping itu kerajaan dan rakyat juga mesti mengorak langkah
untuk membersihkan segala bentuk amalan riba dalam sistem ekonomi dan kewangan
negara demi kesejahteraan masyarakat dalam jangka panjang.
Pihak
MTUC merasa amat kecewa kerana tidak dipanggil untuk sebarang rundingan dan
perbincangkan dalam perlaksanaan GST. MTUC mohon supaya perlaksanaan GST ditangguhkan
dan rundingan dengan pihak-pihak yang terlibat dilanjutkan bagi menangani
permasalahan yang membebankan rakyat.
Sekian terima kasih.
PEKERJA BERSATU RAKYAT MAJU
Yang benar,
N.Gopal Kishnam
Setiausaha Agung
No comments:
Post a Comment