Menurut Malek, gerakan yang ada di Malaysia berbeza dengan di luar negara seperti Filipina, Indonesia dan Hong Kong memandangkan hala tuju gerakan tersebut hanya menjurus ke arah matlamat sesebuah parti.
"Parti politik yang menguasai (gerakan). Di Malaysia berbeza seperti di Filipina, Indonesia. Jauh sekali berbeza dengan di Hong Kong," katanya dalam forum Black 14 Reformasi ke #KitaLawan anjuran Malaysiakini di Petaling Jaya, malam tadi.
Menceritakan kembali gerakan Reformasi pada 1998, Malik yang juga setiausaha di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen berkata, ketika zaman tersebut gerakan itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti dan bersifat menyokong kepada sesuatu tuntutan.
Berbeza dengan gerakan yang ada kini, jelasnya, matlamat sesebuah gerakan tidak dapat dicapai apabila parti politik turut campur tangan terhadap tuntutan yang diusahakan oleh sesebuah gerakan.
Sementara itu, peguam Lawyer For Liberty (LFL) Michelle Yesudas pula berpendapat, kekerapan sekretariat Kita Lawan yang mengadakan aktiviti hampir setiap minggu dikhuatiri akan menyebabkan matlamat asal gerakan itu akan hilang.
Justeru, Michelle menasihatkan bagi memastikan mesej sekretariat itu tidak dilupakan, beliau memberi saranan supaya tidak kerap mengadakan himpunan demonstrasi.
"Jangan setiap hari hendak ada demonstrasi. Kena ada sesuatu untuk menampungnya. Jika tidak mesej akan hilang. Jangan bagi mesej itu hilang makna. Kerana jika tidak, mesej itu akan hilang," katanya.
Panelis lain dalam forum tersebut ialah Editor The Malaysian Insider (TMI), Amin Iskandar.
source:::http://www.malaysiakini.com

No comments:
Post a Comment