KUANTAN - Jumlah kemalangan pekerja di tempat kerja menunjukkan penurunan berdasarkan statistik iaitu 43,795 pada tahun 2013 dan 42,148 pada tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Tugas-tugas khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, ia berikutan kadar kemalangan negara pada tahun 2013 adalah sebanyak 3.28 per 1000 pekerja manakala 3.10 per 1000 pekerja pada tahun 2014.
“Ini menunjukkan penurunan sebanyak 5.49 peratus. Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menjalankan 222,612 pemeriksaan ke atas tempat kerja dan jentera.
“Pemeriksaan itu penting untuk memastikan tempat kerja dan jentera selamat untuk digunakan dan ia adalah antara faktor kemalangan di tempat kerja dapat dikurangkan dari semasa ke semasa,”katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah JKKP, Ir Mokhtar Musri dan Pengarah JKKP Pahang, Mohd Jais Suratman.
Norol Azali berkata, berdasarkan jumlah pemeriksaan yang dilakukan, sebanyak 18,346 notis dikeluarkan, 426 kesalahan dikenakan kompaun dan 300 kes didakwa atas kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
“Kesalahan yang paling banyak berlaku adalah pihak majikan tidak membuat laporan mengenai kemalangan dan aspek keselamatan di tempat kerja yang kurang sempurna.
“Dalam hal ini, majikan seharusnya mempunyai kesedaran dan bertanggungjawab kepada pekerja mereka dan memastikan tempat kerja adalah selamat,” katanya.
Tambah beliau, komitmen majikan dan pekerja dalam perkara itu akan memberikan impak besar kepada negara.
Pada program itu, Norol Azali turut melancarkan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja dalam industri kurier.
sumber:::http://www.sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment