Monday, June 1, 2015

MALAYSIA:::‘Kedudukan istimewa’ GLC sukarkan siasatan, kata PAC ke Nufam

‘Kedudukan istimewa’ syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Khazanah Nasional menyebabkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sukar untuk melakukan siasatan atau mendapatkan penjelasan daripada pengurusan mereka.
Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, di bawah pelan transformasi Putrajaya, GLC di bawah Khazanah tidak tertakluk secara langsung bagi memberikan penjelasan mengenai apa yang berlaku dalam pentadbiran, operasi atau pelaburan mereka kepada PAC.
“Ini yang berlaku apabila PAC memulakan dan melengkapkan prosiding klia2, projek di bawah MAHB, GLC di bawah Khazanah, sehingga ke hari ini, kerajaan masih belum mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap projek pembinaan berkenaan,” kata Nur Jazlan.

Nur Jazlan berkata beliau mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Kesatuan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) yang mahu PAC menyiasat dan memanggil pengurusan MAS mengenai pembaziran yang berlaku dalam syarikat penerbangan nasional.
“Kita tiada masalah memanggil mereka tetapi biasanya GLC-GLC Khazanah ini, akan memaklumkan perkara ini sudah dibincang dan diputuskan di peringkat Lembaga Pengarah selain kedudukan kewangan mereka diaudit firma audit antarabangsa serta tidak berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.
“Jadi seharusnya, Lembaga Pengarah MAS perlu dipertanggungjawabkan jika benar berlaku pembaziran dan wakil kerajaan dilantik dalam lembaga pengarah yang seharusnya mewakili kepentingan rakyat dalam kes ini, kepentingan pekerja itu sendiri,” katanya.
Nufam pada Jumaat menggesa PAC memanggil lembaga pengarah MAS supaya menjawab tuduhan pembaziran yang dibuat ketua pegawai eksekutif (CEO) baharunya, Christoph Mueller.
Gesaan tersebut dinyatakan selepas Mueller dilaporkan The Star pada Jumaat mendedahkan pembaziran dalam MAS berpunca daripada 180 jenis elaun hingga mereka terpaksa menanggung kerugian.
"Lembaga pengarah MAS ketika ini wajar dipanggil PAC. Jika terdapat salah guna kuasa dalam MAS, PAC perlu memanggil MAS.
"Pendedahan CEO baru MAS menunjukkan terdapat banyak pembaziran dan salah guna kuasa dalam MAS," kata Presiden Nufam Ismail Nasaruddin kepada The Malaysian Insider.
Jika benar dakwaan Mueller itu, Ismail berkata ia tidak adil untuk pekerja MAS kini yang menjadi mangsa dan terpaksa berdepan risiko kehilangan kerja.
"Jadi mengapa staf tidak bersalah perlu membayar untuk semua ini? Adakah adil untuk menamatkan staf yang tidak bersalah?
"Siapa yang kayuh basikal ke tempat kerja dan dibayar tinggi untuk elaun tinggi sedemikian?" soal Ismail.
Mueller dalam wawancara bersama The Star pada Jumaat mendedahkan elaun basikal yang dibayar tinggi antara punca syarikat penerbangan tersebut kerugian secara sia-sia.
MAS ketika ini sedang dalam persediaan untuk menamatkan satu pertiga daripada tenaga kerja mereka, kira-kira 20,000 pekerja MAS akan mengetahui nasib mereka minggu depan.
Hanya dua pertiga daripada pekerja akan diambil bekerja semula di bawah MAS Bhd yang dijenamakan semula. 
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata di bawah pelan transformasi Putrajaya, GLC di bawah Khazanah tidak tertakluk secara langsung bagi memberikan penjelasan mengenai apa yang berlaku dalam pentadbiran, operasi atau pelaburan mereka kepada PAC. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Mei, 2015.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata di bawah pelan transformasi Putrajaya, GLC di bawah Khazanah tidak tertakluk secara langsung bagi memberikan penjelasan mengenai apa yang berlaku dalam pentadbiran, operasi atau pelaburan mereka kepada PAC.

No comments:

Post a Comment