Tuesday, June 2, 2015

MALAYSIA:::MAS Bhd boleh disaman jika enggan iktiraf kesatuan, kata peguam

Pemegang jawatan dan ahli kesatuan sekerja boleh mengambil tindakan mahkamah ke atas MAS Bhd jika ia cuba memusnahkan suara pekerja dengan mengharamkan kesatuan, hakim bersara dan peguam industri memberi amaran.
Mereka berkata, hak mempunyai kesatuan sekerja dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 10 mengenai kebebasan berpersatuan.

Peguam berkata, penyelesaian yang lebih baik ialah, pengurusan syarikat penerbangan negara yang dijenamakan semula itu mengekalkan kesatuan sekerja sedia ada sebagai wakil pekerja am dan kakitangan eksekutif, bagi mengekalkan keharmonian industri dan membuat perjanjian kolektif.
Beliau berkata, majikan baharu itu tidak boleh membubarkan kesatuan sedia ada yang sah dari segi undang-undang apabila undang-undang baharu itu dikuatkuasakan.
"Sekiranya kesannya, secara intipati dan isinya, melanggar Perkara 10 mengenai hak kesatuan sekerja, pemegang jawatan dan anggotanya boleh mencabar kesahihan undang-undang itu," katanya.
Beliau berkata penyelesaian yang lebih wajar ialah majikan mengiktiraf kesatuan sedia ada kerana sebarang pembubaran akan membawa kepada banyak implikasi undang-undang.
"Bagaimana kesatuan akan melupus dan mengedarkan asetnya kepada anggota dan bekas anggotanya?" soalnya.
Sri Ram berkata demikian mengulas masa depan Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (Maseu), kesatuan sekerja terbesar dan paling berkuasa syarikat penerbangan itu, apabila MAS Bhd selesai dengan langkah penstrukturan semula.
Maseu, yang mewakili kira-kira 13,500 pekerja MAS, termasuk di Sabah dan Sarawak, dijangka dibubarkan kerana pengurusan baru membayangkan, kesatuan tidak mempunyai tempat dalam syarikat baru itu, yang akan mula beroperasi pada 1 September.
Kesatuan itu, yang buat masa ini menerima hakikat itu, bercadang menukar statusnya kepada koperasi dalam entiti baru itu.
Setiausaha Eksekutif Maseu Mohd Jabarullah Abd Kadir mengesahkan perkara ini dan memberitahu The Malaysian Insider, dua mesyuarat agung luar biasa diadakan baru-baru ini bagi membincangkan kemungkinan pembubaran kesatuan. 
Jabarullah berkata, walaupun kesatuan itu mengadakan dua mesyuarat agung luar biasa, perkara itu masih perlu dibincangkan lagi dan ahli perlu mengundi pada satu mesyuarat lain.
Katanya, kesatuan terpaksa mengambil langkah drastik ini kerana di bawah rancangan Khazanah Nasional Berhad mengembalikan keuntungan kepada syarikat penerbangan yang bermasalah itu, pengurusan baru itu tidak mengiktiraf kesatuan.
Terdapat sekurang-kurangnya sembilan kesatuan sekerja dan persatuan dalam MAS. Selain Maseu, yang lain termasuk Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) yang mewakili kira-kira 1,500 anak kapal, Kesatuan Pekerja MAS Semenanjung Malaysia dan Persatuan Juruterbang Malaysia.

Menurut laporan, 14,000 pekerja MAS dipilih menyertai syarikat baru itu mulai 1 September dan mereka diberi 12 hari untuk membuat keputusan, manakala 6,000 lagi ditamatkan perkhidmatan sebagai sebahagian dari rancangan penyusunan semula RM6 bilion Khazanah.

Peguam Shailender Bhar berkata, Seksyen 27 undang-undang MAS itu menyatakan kesatuan boleh wujud atas terma dan syarat yang dikenakan pihak pengurusan dan tindakan mengharamkannya bertentangan dengan Perlembagaan dan undang-undang persekutuan lain.
"Nampaknya kesatuan akan menjadi semata-mata pak turut kepada majikan baharu kerana pengurusan melanggar semua undang-undang yang melindungi wakil pekerja," katanya.
Shailender juga menyatakan, tanpa perundingan dengan kesatuan sekerja mereka, MAS tidak memberikan hak kepada 14,000 pekerja itu untuk menyertai syarikat baru tersebut.
"Ia sama seperti memberi kata dua sama ada anda terima atau tolak, dan mereka diberi masa yang singkat untuk membuat keputusan mengenai pekerjaan mereka," katanya.
Beliau berkata undang-undang MAS menyatakan, undang-undang seperti Akta Syarikat, Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Pekerjaan, Akta Kesatuan Sekerja dan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak tidak digunapakai.
"Apa yang istimewa sangat tentang Akta MAS ini hingga perlembagaan dan undang-undang sedia ada dianggap kelas kedua?" soalnya.
Peguam Alex De Silva berkata, majikan baru boleh membentuk kesatuan baru dengan memohon pengiktirafan daripada pihak pengurusan MAS, tetapi ini akan menjadi satu tugas yang sukar.

"Tetapi mengapa bersusah payah melalui proses ini apabila terdapat kesatuan yang sah diiktiraf kerajaan?" soalnya, sambil menambah, lebih baik bagi pegawai kesatuan sekerja mempertahankan dan melindungi organisasi yang sedia wujud.
Alex berkata, ketua pengarah kesatuan sekerja boleh membatalkan pendaftaran kesatuan dalam MAS jika mereka tidak lagi berfungsi.
"Pegawai dan ahli perlu menjaga kesatuan mereka supaya hidup dan meneruskan aktiviti mereka seperti yang dibenarkan mengikut undang-undang," katanya. – 2 Jun, 2015.
 Peguam berkata MAS Bhd patut mengekalkan kesatuan sekerja sedia ada sebagai wakil pekerja am dan kakitangan eksekutif, bagi mengekalkan keharmonian industri dan membuat perjanjian kolektif. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Jun, 2015.
Peguam berkata MAS Bhd patut mengekalkan kesatuan sekerja sedia ada sebagai wakil pekerja am dan kakitangan eksekutif, bagi mengekalkan keharmonian industri dan membuat perjanjian kolektif 

No comments:

Post a Comment