Saturday, June 27, 2015

MALAYSIA:::MTUC gesa beku ambil pekerja asing dalam 2 tahun

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan untuk membekukan pengambilan pekerja warga asing untuk tempoh dua tahun bagi mengawal lambakan pekerja asing di negara ini.

Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata dengan membawa masuk pekerja asing ini, ia akan memberi impak terhadap masyarakat Malaysia bukan hanya dari segi ekonomi tetapi akan melibatkan masalah sosial.

"Dianggarkan Malaysia mempunyai tujuh juta pekerja asing, dan hanya 2.2 juta sahaja yang bekerja secara sah. Ini suatu angka yang merisaukan kerana pertambahan pengambilan pekerja asing ini akan menyebabkan kerajaan tidak dapat mengawal secara menyeluruh masalah ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 



Beliau juga berkata kerajaan seharusnya mengambil pekerja asing setakat yang diperlukan sahaja dan jika pengambilannya tidak dikawal ia akan menimbulkan kerisauan terhadap keselamatan, kesihatan dan ekonomi masyarakat tempatan.

Katanya selain itu, kehadiran ramai pekerja asing terutama yang tidak berdaftar boleh menyebabkan berlakunya penularan penyakit berjangkit, selain peningkatan kes-kes jenayah yang dikaitkan dengan pekerja asing.

"AIDS, Hepatitis B dan batuk kering antara penyakit yang dibawa oleh pekerja asing ini dan walaupun dilaporkan statistik jenayah  semakin berkurang, tetapi masyarakat masih merasa takut akan jaminan keselamatan mereka kerana terdapat penempatan warga asing ini di kawasan komuniti mereka," katanya.

Mohd Khalid berkata ada juga majikan yang sengaja mahu mengambil kesempatan dengan memberhentikan pekerja tempatan dan menggajikan pekerja asing bagi menjimatkan kos dan membayar gaji yang murah.

Katanya kerajaan sepatutnya tidak terlalu mengikut kehendak majikan yang menyatakan Malaysia kekurangan pekerja sehinggakan terpaksa menambah bilangan pekerja asing.

"Jangan 'manjakan' majikan ini kalau kita tak nak lihat Malaysia dijadikan negara kedua pekerja asing ini sehinggakan rakyat tempatan tidak dapat pekerjaan,"  katanya.   

Beliau berkata kerajaan harus menyemak semula cadangan untuk menambah pengambilan pekerja asing ini agar kebanjiran mereka ini dapat  dikurangkan dan sekali gus dapat memberi jaminan akan keselamatan masyarakat tempatan.  - Bernama
 

sumber:::http://www.sinarharian.com.my

MTUC

No comments:

Post a Comment