Thursday, August 27, 2015

MALAYSIA:::Pengambilan pekerja asing melalui khidmat atas talian

PUTRAJAYA: Khidmat orang tengah atau "agen" mungkin tidak diperlukan tidak lama lagi dengan pelaksanaan sistem pengambilan pekerja asing secara atas talian, kelak.

Ia antara tiga syarat baharu yang digariskan ke atas majikan dalam pengambilan pekerja asing ke negara ini kecuali pembantu rumah yang masih menggunakan khidmat agen.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata menerusi sistem atas talian itu, permohonan akan diluluskan dalam tempoh 48 jam sekaligus memendekkan tempoh membawa masuk pekerja asing.

"Kaedah konvensional ambil masa 3 hingga 6 bulan. Melalui sistem online majikan akan dapat kelulusan dalam tempoh 48 jam. Ini beri keberkesanan dan kelancaran berbanding sistem sedia ada sebelum ini," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing Dan Pendatang Asing Tanpa Izin Ke-14 di Putrajaya.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, majikan juga tidak lagi perlu berbelanja lebih berikutan kemudahan itu disediakan secara percuma.

"Apabila agen-agen ini pergi memohon secara konvensional ke kaunter-kaunter berkenaan biarpun kita ada One Stop Centre tetapi 'bottle neck' berlaku di situ."

"Bagi elak tuduhan bahawa pegawai terima rasuah atau hanya cepatkan permohonan lepas dibayar dengan jumlah tertentu maka jawapan terbaik adalah menyediakan kaedah permohonan secara atas talian," katanya.

Dalam pada itu, syarat lain juga memutuskan bahawa majikan wajib sediakan kemudahan penginapan kepada pekerja asing berdasarkan standard ditetapkan kerajaan.

"Penempatan secara pusat akan diletakkan di satu kawasan penginapan khusus dengan menyediakan kemudahan asas seperti tempat makan, tandas dan pusat ibadah untuk agama berlainan di atas tahap kemanusiaan serta mengurangkan risiko masalah sosial dan jenayah."

Menurutnya, projek perintis penempatan itu telahpun bermula di Pengerang, Johor dan mampu menempat 10,000 pekerja asing di dalam satu penempatan.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot yang turut menghadiri mesyuarat itu berkata penempatan secara pusat yang disediakan kepada pekerja asing perlu menepati syarat keluasan 4.5 meter persegi bagi sebuah bilik dan sebuah tandas untuk setiap lima pekerja asing.

Mesyuarat itu juga memutuskan bahawa majikan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pekerja asing yang digajikan bermula dari peringkat permohonan, penggajian sehingga dihantar pulang ke negara asal.

Bagi majikan yang tidak menepati syarat-syarat ditetapkan, mereka akan dikenakan penalti mengikut kesalahan yang dilakukan.
Pengambilan pekerja asing melalui khidmat atas talian
source:::http://www.astroawani.com

No comments:

Post a Comment