Sunday, October 25, 2015

MALAYSIA:::Pelarasan gaji minimum wajar sama rata

Pekerja swasta Sarawak, Sabah hadapi kos lebih tinggi berbanding Semenanjung
// Oleh Jessica Jawing //
KUCHING: Peningkatan gaji minimum pekerja swasta di Sarawak dan Sabah sewajarnya sama rata dengan pekerja di Semenanjung Malaysia memandangkan kos barangan dan perkhidmatan di kedua-dua negeri itu lebih mahal.
Walaupun pengumuman kenaikan gaji minimum iaitu dari RM800 sebelum ini kepada RM920 kepada pekerja swasta Sabah dan Sarawak dalam Bajet 2016 bertepatan tetapi beberapa aspek harus diambil kira.

Impaknya bukan sahaja kepada pekerja itu sendiri malah kepada majikan selain pekerja syarikat Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Presiden Kesatuan Pekerja Telekom Malaysia Berhad (UTES), Mohd Ibrahim Hamid berkata secara pembentangan Bajet 2016 dari aspek kenaikan gaji adalah lebih kepada pekerja awam berbanding swasta.
“Pelarasan ulang kaji gaji minimum sepatutnya konsisten dengan gaji minimum penjawat awam iaitu RM1,200.
“Malah, seharusnya diselaraskan untuk Sabah dan Sarawak memandangkan perbezaan kos barangan dan perkhidmatan di kedua-dua negeri adalah lebih mahal,” katanya di sini semalam.
Katanya, beliau menyambut baik pelarasan pencen penjawat awam namun kumpulan bekas pejawat awam syarikat GLC bersara atas dasar penswastaan tidak diambil kira.
“Kebanyakan mereka menerima pencen di bawah tahap kemiskinan dan seharusnya dipertimbangkan sewajarnya kerana mereka berjasa kepada kerajaan semasa berkhidmat,” katanya.
Dari segi pelepasan cukai memang ada penambahbaikan namun masih juga pekerja swasta membayar lebih berdasarkan gaji kasar.
Sementara itu, usahawan produk kesihatan Asma-Ulhusna Ahmad Sharkawi, 33, menyambut baik peningkatan gaji minimum swasta.
Katanya, ia sebagai galakkan kepada pekerja berusaha lebih dalam bidang mereka mungkin merasakan ganjaran pada hujung bulan.
Beliau yang mempunyai dua pekerja setakat ini menjelaskan akan melaksanakan peningkatan gaji terbabit dan terus memberi bonus lain sebagai ganjaran kepada mereka.
“Pada mereka sebagai pekerja pasti berita amat baik kerana gaji minimum meningkat serentak dengan keadaan ekonomi tidak menentu, kos sara hidup tinggi dan sebagainya.
“Bagi pekerja saya, mungkin akan diberi bonus lain selain kadar gaji berkenaan kerana pasti menggalakkan perniagaan kepada saya… kenaikan gaji ini tidak harus dilihat dari segi negatif sahaja,” katanya.
Dalam Bajet 2016 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu, antara lain menyatakan gaji minimum pekerja swasta di Semenanjung Malaysia dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 manakala untuk Sabah, Sarawak dan Labuan naik kepada RM920 daripada RM800, bagi semua sektor kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.

No comments:

Post a Comment