Friday, February 19, 2016

MALAYSIA:::Kesatuan sekerja gesa Putrajaya tubuh RCI pekerja asing

Selain meminta Putrajaya menghentikan rancangan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh ke negara ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pekerja asing ditubuhkan.
Setiausaha Agung MTUC N Gopal Krishnam sebelum ini berkata, kemasukan pekerja asing itu akan memberikan kesan kepada pekerja separa mahir tempatan.
"MTUC mohon jasa baik, untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja pekerja asing dan menghentikan rancangan pengambilan pekerja asing ini bagi faedah rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Beliau sebelum ini berkata, sektor separa mahir kurang diminati penduduk tempatan kerana kadar gaji yang rendah dan masa kerja panjang.
"Beribu pekerja dari Malaysia merantau ke Singapura setiap hari bagi menyara hidup. Kenapa, siapakah yang banyak melakukan kerja separa mahir ini di Singapura?" soalnya.
Beliau berkata, walaupun mereka bekerja dalam bidang separa mahir, disebabkan imbuhan yang dibayar adalah tinggi dan setaraf dengan kerja tersebut maka mereka sanggup berulang-alik ke negara jiran.
"Mereka ini bukan saja profesional malah terdiri daripada golongan yang terkandas dalam pelajaran dan pekerja am," katanya.
Beliau berkata, Putrajaya seharusnya mengehadkan kemasukan pekerja asing bagi mencapai status negara maju.
"MTUC merasakan jika kerajaan serius dengan pengiktirafan untuk mencapai negara berstatus pendapatan tinggi, maka mereka harus mengehadkan pekerja asing di tempat kerja seperti dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-11 iaitu pengurangan pekerja asing ke paras 15%.
"Tetapi berdasarkan perkembangan semasa yang berlaku MTUC kurang yakin hasrat tersebut boleh dicapai," katanya.
Beliau berkata, sehingga hari ini kira-kira 7 juta pekerja asing berada di negara ini dengan hanya 2.1 juta saja yang memiliki dokumen sah.
"Kementerian harus menjalankan kajian serta analisa mendalam berkaitan pemecatan, pengganguran dan keperluan pasaran tenaga kerja bagi membolehkan kerajaan mengehadkan pengambilan pekerja asing secara beransur-ansur," katanya.
MTUC juga melihat, pengumuman kerajaan ini menunjukkan seolah-olah hasrat mengecualikan mereka daripada Perintah Gaji Minimum.
"MTUC membantah sama sekali tindakan diskriminasi ini.
"Negara tidak harus bergantung kepada sumber tenaga kerja dari negara asing. Keadaan ini sudah tentu akan memudaratkan ekonomi tempatan dan memberi kesan buruk kepada penduduk tempatan," katanya. – 18 Februari, 2016.
sumber:::http://www.themalaysianinsider.com
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia N Gopal Krishnam berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan pekerja asing ditubuhkan perlu ditubuhkan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Februari, 2016.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia N Gopal Krishnam berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan pekerja asing ditubuhkan perlu ditubuhkan -

No comments:

Post a Comment